1.1 juta tan metrik beras musnah akibat banjir di Bangladesh

Banjir besar yang baru melanda Bangladesh kini mengancam sumber bekalan makanan buat 170 juta penduduknya. (FOTO: Dubai Eye 103.8)
– Advertisement –

DHAKA: Kementerian Pertanian Bangladesh memaklumkan banjir yang berlaku di negara berkenaan telah memusnahkan kira-kira 1.1 juta tan metrik beras dan mendorong pihaknya untuk meningkatkan import bijirin ruji itu di tengah-tengah harga makanan yang melambung tinggi.

“Banjir tahun ini telah mengakibatkan kehilangan besar pengeluaran beras. Sebagai tindak balas, kerajaan bergerak pantas untuk mengimport 500,000 tan beras dan dijangka membenarkan sektor swasta untuk mengimport tidak lama lagi,” kata kementerian berkenaan.

– Advertisement –

Kerajaan sementara pimpinan Muhammad Yunus yang mengambil alih kuasa pada Ogos ketika ini bergelut untuk menstabilkan harga makanan yang telah melonjak hampir 20 peratus dalam beberapa bulan kebelakangan ini, lapor Reuters.

Aktiviti import yang lebih tinggi oleh Bangladesh dilihat akan memberi kelebihan kepada negara jiran mereka iaitu India, pengeksport beras global terkemuka yang telah mengurangkan duti ke atas eksport beras masak kepada 10 peratus bulan lalu.

Banjir yang berlaku itu turut menjejaskan hasil pertanian lain, termasuk lebih 200,000 tan sayur-sayuran, di mana jumlah kerugian pertanian di seluruh negara itu akibat banjir dianggarkan sekitar à§ł45 bilion taka (RM1.6 bilion).

Bangladesh merupakan pengeluar beras ketiga terbesar di dunia yang kebiasaannya mengeluarkan hampir 40 juta tan beras setahun sebagai bekalan kepada 170 juta penduduknya. 

Walau bagaimanapun, bencana alam sering mengganggu pengeluaran dan membawa kepada peningkatan ketergantungan import bagi bahan makanan berkenaan.

Banjir yang dibawa oleh hujan lebat monsun yang melanda negara itu dalam dua gelombang besar pada Ogos dan Oktober telah meragut sekurang-kurangnya 75 nyawa dan menjejaskan berjuta-juta tanaman, khususnya di kawasan timur dan utara yang merupakan kawasan paling teruk terjejas. -Agensi/– HARAKAHDAILY 21/10/2024

– Advertisement –

Scroll to Top