Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) perlu mengadakan beberapa siri perbincangan bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum dapat memutuskan kaedah terbaik penggunaan peruntukan RM15 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2025, Jumaat lalu.
Ketua Pengarah MSN, Abdul Rashid Yaakub berkata, perbincangan itu penting untuk memastikan dana berkenaan dimanfaatkan secara optimum bagi pembangunan bola sepak negara.
“Sebenarnya perjumpaan dengan FAM telah berlangsung, tetapi perbincangan ini perlu dilakukan beberapa kali lagi.
“Bukanlah boleh jumpa selesai terus, ia satu proses yang kita perlu bincang sampai dapat memuktamadkan jalan terbaik,” katanya kepada pemberita selepas Seminar Wanita Dalam Sukan Kebangsaan 2024 di sini, hari ini.
Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan peruntukan RM15 juta kepada pasukan Harimau Malaya, Pasukan Bawah 18 dan Bawah 13, tidak boleh dibelanjakan sesuka hati atau untuk pembayaran gaji.
Hannah berkata, Kementerian Kewangan serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memantau penggunaan peruntukan kepada FAM bagi memastikan dana itu hanya digunakan bagi peningkatan prestasi oleh barisan kejurulatihan dan bukan untuk kegunaan lain.
Menyentuh mengenai seminar berkenaan, Abdul Rashid berkata, ia bertujuan meningkatkan kesedaran peranan wanita dalam bidang sukan selain mempromosikan kesaksamaan jantina.
“Kita gembira kerana baru-baru ini di Sukan Olimpik, kita dapat saksikan penyertaan atlet lelaki dan wanita adalah 50-50, jadi kita nampak bilangan wanita terlibat dalam sukan semakin meningkat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




