am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pelantikan Ahli Lembaga Pengarah syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dibuat berdasarkan kelayakan.
Perdana Menteri berkata, syarat dan keutamaan pelantikan ahli lembaga pengarah GLIC dan GLC diberikan kepada golongan profesional, namun tidak mendiskriminasi orang politik.
Katanya, selain kelayakan, lantikan ahli lembaga pengarah juga perlu melalui beberapa proses semakan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis.
“Namun institusi kewangan dan beberapa agensi yang terikat kepada kewangan tidak diizinkan ahli politik sebagai ahli lembaga pengarah.
“Itu memang kita tegas dan mendukung prinsip yang ditekankan oleh Bank Negara Malaysia,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang mencadangkan ahli lembaga pengarah GLC dan GLIC dipilih daripada golongan profesional dari sektor swasta yang berintegriti dan tidak mengamalkan lantikan politik yang masih bertugas ataupun sudah bersara.
Anwar berkata, mulai tahun depan Ketua Audit Negara akan mula memantau penilaian dan prestasi syarikat GLIC dan GLC.
“Bila ada pemantauan yang keras, maka tidak mudah untuk ahli lembaga pengarah bertindak bertentangan dengan prinsip yang ditegaskan.
“Ini akan memberikan peringatan bahawa tidak harus berlaku apa-apa kecurangan dalam agensi berkenaan,” katanya.
Terdahulu, Anwar turut menjawab soalan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) berhubung pelan tindakan di bawah agenda reformasi khusus buat GLIC, GLC dan agensi demi memastikan keseimbangan antara objektif korporat dan tanggungjawab sosioekonomi nasional tercapai tanpa menjejaskan daya maju, daya saing dan daya tahan ekonomi Malaysia dan Syarikat Berkaitan Kerajaan itu sendiri.
Anwar berkata, kerajaan memutuskan untuk menubuhkan pejabat penyelaras rasionalisasi badan-badan berkanun termasuk Syarikat Berhad Menurut Jaminan (CLBG).
Katanya, penubuhan pejabat penyelaras itu bagi memastikan ia mencapai matlamat asal iaitu menjana pertumbuhan, berdaya maju secara komersial, selain memenuhi agenda negara serta ekonomi Madani termasuk kekuatan ekonomi Bumiputra.
“Penubuhan badan-badan berkanun, Bahagian Pengurusan Pertubuhan (BPP) Persekutuan dan CLBG adalah bagi memenuhi maksud-maksud tertentu.
“Tetapi bila dikaji semula, memang ada pertindihan dan kadang-kadang perlu diingatkan tentang matlamat asalnya…Saya dah tengok itu dan kita putuskan untuk menubuhkan pejabat penyelaras rasionalisasi badan-badan berkanun termasuk CLBG,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




