Siapa sangka juara dunia seorang doktor perubatan

Siapa sangka juara dunia seorang doktor perubatan

London: Anna Morris tidak mempunyai basikal lumba sehingga berusia 20 tahun dan jarang menjejakkan kaki ke velodrom.

Hanya tiga tahun lalu, dia menyaksikan Sukan Olimpik Tokyo dari hospital tempat dia bekerja. Kini doktor perubatan itu bergelar juara dunia tiga kali dan juga pemenang pingat Olimpik.

Pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Denmark minggu lalu, pelumba berusia 29 tahun dari Cardiff itu membantu pasukannya meraih emas kejar mengejar berpasukan sebelum memenangi emas individu acara itu.

“Saya tak pernah muncul juara kebangsaan,” katanya kepada BBC Sport Wales. “Saya masih terkejut dan seperti tak percaya apabila tiba di garisan penamat.”

Anna membesar di utara Cardiff, hanya beberapa minit daripada Velodrom Maindy yang menjadi tempat permulaan beberapa pelumba terkenal seperti Geraint Thomas, Elinor Barker danLuke Rowe menjalani latihan.

Ketika belajar bidang perubatan di Universiti Southampton, dia memastikan dirinya kekal cergas dengan kerap bersenam selepas tamat kuliah dan memasuki tahun kedua, dia berpeluang menjalani latihan berbasikal di Velodrom Calshot.

Dari situ, dia mengembangkan bakatnya dengan menyertai kejohanan pertama di BUCS (Sukan Universiti dan Kolej).

Pada 2021 Anna mengambil keputusan meninggalkan seketika karier kedoktorannya bagi memastikan dia terpilih dalam skuad Wales untuk menghadapi Sukan Komanwel 2022.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top