Undang masalah saluran pernafasan, alahan

Undang masalah saluran pernafasan, alahan

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Najis burung termasuk burung merpati mempunyai beberapa organisma seperti bakteria, fungi (kulat) dan virus yang berisiko menyebabkan masalah kesihatan kepada manusia.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, antara penyakit yang biasa didapati daripada pencemaran najis burung adalah masalah saluran pernafasan dan alahan antaranya seperti histoplasmosis, cryptococcosis and psittacosis.

“Najis burung berisiko menyebabkan penyakit kepada manusia melalui hubungan langsung (mendekati tempat banyak najis atau membela burung) atau sebaran melalui udara pernafasan.

“Ia menyebabkan penyakit pernafasan dengan gejala seperti batuk, demam, selesema dan susah bernafas. Selain itu, gejala lain seperti sakit mata atau tanda alergik,” katanya.

Dr Zainal Ariffin berkata, justeru orang ramai boleh mengelak daripada terdedah kepada najis burung merpati selain menjauhi daripada kawasan yang mempunyai banyak burung.

“Selain itu, mereka yang mahu membersihkan kawasan (najis) burung perlu menggunakan pelitup muka dan hidung serta pelindung mata ketika melakukan kerja pembersihan.

“Amalan kebersihan juga perlu seperti membasuh muka dan mandi menggunakan sabun selepas berada di kawasan banyak najis burung atau membersihkan kawasan berkenaan,” katanya.

Katanya, tidak dinafikan ramai orang awam yang kurang mengetahui mengenai risiko najis burung dan mereka perlu sentiasa peka mengenainya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top