Kadar Gaji RM1,700 Merisaukan Pengusaha Mamak, Naik Harga Makanan Sehingga 30 Peratus | Oh! Media

Kadar Gaji RM1,700 Merisaukan Pengusaha Mamak, Naik Harga Makanan Sehingga 30 Peratus | Oh! Media

Kerajaan baru sahaja mengumumkan kenaikan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan yang akan berkuat kuasa pada 1 Februari 2025. Namun, di sebalik berita ini, Persatuan Pemilik Restoran India Malaysia (PRIM) meluahkan kebimbangan mereka bahawa harga makanan di restoran mungkin melonjak antara 20% hingga 30% akibat daripada perubahan ini.

Menurut Presiden PRIM, Datuk J. Govindasamy, kenaikan gaji minimum ini akan meningkatkan kos operasi pengusaha restoran yang sudah pun terbeban dengan kenaikan harga bahan mentah serta pemansuhan subsidi diesel.

Kos operasi sudah meningkat dengan pemansuhan subsidi diesel dan kenaikan harga bahan mentah. Sedikit yang dilakukan untuk mengawal kenaikan harga bahan mentah tetapi pihak berkuasa selalunya cepat meneliti harga produk akhir.- Katanya.

Govindasamy juga mengingatkan bahawa walaupun kerajaan cuba membantu rakyat melalui dasar-dasar tertentu, mereka seolah-olah mengambil balik manfaat tersebut dengan pelaksanaan dasar seperti kenaikan gaji minimum.

Kerajaan sepatutnya pastikan harga barangan terkawal…

Bagi beliau, cara terbaik untuk mengawal harga makanan adalah dengan kerajaan memastikan harga bahan mentah kekal stabil agar pengusaha restoran dapat mengekalkan harga yang berpatutan.

Selain itu, cadangan untuk mewajibkan majikan mencarum ke dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja asing juga menimbulkan kebimbangan.

Govindasamy mempersoalkan keperluan mencarum untuk warga asing memandangkan kebanyakan daripada mereka menghantar gaji mereka pulang ke tanah air.

Majikan perlu mencarum 12 peratus lagi kepada KWSP pekerja asing.- Tambahnya, menyifatkan langkah ini sebagai sesuatu yang akan ‘merumitkan’ keadaan.

#OhmediaNasihat

Kenaikan gaji minimum memang satu langkah positif tapi bila kos hidup pun naik, rakyat juga yang terbeban. Bagi kita semua, penting untuk berjimat dan merancang kewangan dengan bijak.

Kerajaan pula perlu berusaha lebih untuk memastikan kenaikan harga barang tidak membebankan rakyat. Semoga ada jalan tengah yang dapat memuaskan semua pihak!


Scroll to Top