Ketua kampung tumbuk remaja, bergaduh didenda

Ketua kampung tumbuk remaja, bergaduh didenda

am@hmetro.com.my

Batu Pahat: Seorang ketua kampung didenda RM1,500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Yong Peng di sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan lelaki serta terbabit dalam pergaduhan, di Rengit, Jumaat lalu.

Tertuduh, Md Shahrol Lagiman, 43, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Suhail Shafi’uddin selepas pertuduhan dikemukakan jurubahasa terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menyebabkan kecederaan ke atas remaja berusia 19 tahun di Kampung Parit Tengah, Simpang Empat, Rengit, jam 12.50 tengah malam, 18 Oktober lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku apabila tertuduh terserempak dengan mangsa yang sedang melepak di Kompleks Penghulu Rengit.

Tertuduh kemudian menegur dan meminta mangsa pulang ke rumah sebaliknya, teguran itu mencetuskan rasa tidak puas hati.

Sebelum beredar, mangsa dilaporkan membuat bising ekzos motosikal menyebabkan tertuduh berang lalu mengejarnya.

Bagaimanapun, motosikal mangsa terbabas dan tertuduh kemudian menumbuk muka remaja itu hingga cedera.

Sementara itu, tertuduh bersama tiga lagi lelaki berhadapan pertuduhan mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana terbabit dalam pergaduhan di Kompleks Penghulu, Mukim 12, Sungai Merlong, Rengit, 1.20 pagi hari sama.

Selain tertuduh, mereka ialah Mohamad Safik Kasmo, 27; adiknya, Muhammad Sahrul Naim, 23; dan Muhammad Azrul Shah Mohamad Sarjan, 18, dan kesemuanya mengaku bersalah sebelum didenda RM500 setiap seorang.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top