firdaushashim@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Jumlah 10 gol dalam dua aksi Liga Juara-Juara Asia II (ACL II) yang dicetak Jeonbuk Hyundai cukup menggerunkan tonggak pertahanan Selangor FC, Harith Haiqal.
Menurut pemain berusia 22 tahun itu, keampuhan jentera depan kelab dari Korea Selatan itu seolah-olah memberi amaran ‘badai’ yang bakal dihadapinya sepanjang 90 minit aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam esok.
“Saya rasa soalan itu tak boleh tertumpu pada pertahanan sahaja, sebab kita main bola sepak dan kita main sebagai satu pasukan, 11 orang bermain atas padang.
“Saya fikir semua pemain perlu bekerjasama dan bermain satu hati. Dalam dua perlawanan ACL II, mereka menjaringkan 10 gol. Bagi saya jumlah itu banyak,” katanya pada sidang media praperlawanan, hari ini.
Harith yang bakatnya dikesan menerusi Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDF) dan berjaya menempatkan diri dalam skuad elit pertama Akademi Mokhtar Dahari (AMD) mahu barisan pertahanan tampil berdisiplin untuk mengekang asakan lawan.
Katanya, cara terbaik untuk mengelak daripada dibelasah adalah dengan kekal fokus dan bertahan sebagai satu unit.
“Kita tahu kualiti pasukan dari Korea, bagi saya cukup bagus. Kita kena bertahan dan bertahan dengan disiplin tinggi, itu sahaja cara untuk menghentikan mereka,” katanya.
Untuk rekod, Harith meraih cap pertama bersama skuad Harimau Malaya ketika tewas 0-4 kepada New Zealand pada 14 Oktober lalu, sekali gus ia menaikkan semangat pemain kelahiran Klang itu untuk membantu Selangor FC malam esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd




