nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Yayasan Petronas menyampaikan sumbangan kepada 1,600 keluarga India yang kurang berkemampuan, sempena Deepavali.
Sumbangan menerusi Program Memacu Kehidupan Deepavali 2024 itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membabitkan 11 negeri dengan dimulakan di Kelantan.
Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli, berkata bantuan yang diagihkan dalam bentuk barangan keperluan asas termasuk beras dan minyak masak.
“Yayasan Petronas mengambil inisiatif untuk memberi impak jangka panjang melalui program hari perayaan bersama komuniti, dengan hasrat untuk membawa lebih keceriaan kepada semua yang merayakan.
“Program Yayasan Petronas Memacu Kehidupan Deepavali 2024 ini adalah di bawah teras kesejahteraan dan pembangunan masyarakat yang mempunyai fokus untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat yang kurang berkemampuan.
“Untuk sumbangan Deepavali pada tahun ini, Yayasan Petronas dengan kerjasama JKM mengenal pasti dan mensasarkan sumbangan kepada 1,600 keluarga di 11 negeri membabitkan kos RM320,000.
“Tahun ini juga kita membawa satu kelainan dengan meraikan perayaan Deepavali bersama warga Kelantan khususnya dari jajahan Kota Bharu, Tanah Merah dan Kuala Krai membabitkan 50 keluarga yang dikenal pasti,” katanya ketika berucap pada Majlis Memacu Kehidupan Deepavali 2024, di sini, malam ini.
Sumbangan berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wilayah, Sumber Asli, Integriti, Pembangunan Insan Dan Undang-Undang Negeri, Wan Rohimi Wan Daud.
Mengulas lanjut katanya, besar harapannya semoga sumbangan makanan asas dan makanan perayaan itu dapat membawa lebih keceriaan kepada semua penerima di musim perayaan ini.
“Kami mahu melihat anda semua dapat menyambut perayaan Deepavali dengan perasaan yang lebih ceria dan bermakna di samping keluarga yang tersayang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




