Payang Walk menjadi antara destinasi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara di Terengganu untuk mendapatkan produk makanan, kraftangan, kesenian dan kebudayaan.
Baru-baru ini, lokasi ini menjadi tumpuan peminat kucing dengan penganjuran program Cat Day ‘Sayangi Kucing Kiter’ membabitkan hampir 400 kucing baka tempatan dan luar negara.
Program yang julung kali diadakan itu, berjaya menarik kehadiran 5,000 pengunjung termasuk pelancong dari dalam dan luar negara.
Penganjur Payang Walk, Mohamad Afifi Md Ghadzi berkata, sebelum ini pihaknya pernah menganjurkan program Mini Zoo untuk memberi peluang kepada orang ramai melihat lebih dekat pelbagai jenis haiwan.
Katanya, melihat sambutan luar biasa diberikan, pihaknya membuat keputusan mengadakan program Cat Day.
“Objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat terhadap kepentingan menjaga kebajikan si bulus.
“Dalam program ini kami mengadakan sesi khas mengenai penjagaan kucing, sekali gus menarik minat orang ramai menjadikan kucing sebagai haiwan peliharaan.
“Pada masa sama, kami ingin memberi peluang masyarakat melihat dan bergambar dengan pelbagai baka kucing yang jarang dilihat umum,” katanya.
Menurutnya, pameran kucing itu disertai lima kumpulan yang aktif memelihara kucing di Terengganu yang membawa lebih 30 kucing untuk dipamerkan.
“Antara kucing yang dipamerkan sepanjang program ini termasuk Maine Coon, British Shorthair, Sphynx, Munchkin, Bengal dan kucing kampung.
“Program menjadi lebih meriah, apabila ramai pengunjung turut membawa kucing dan haiwan peliharaan masing-masing,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




