Ops Global: 55 kanak-kanak diserah kepada ahli keluarga

Ops Global: 55 kanak-kanak diserah kepada ahli keluarga

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Seramai 55 daripada 560 kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global membabitkan GISB Holdings (GISBH) sudah dikembalikan kepada ahli keluarga terdekat yang layak setakat hari ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya tidak tahu sama ada kanak-kanak berkenaan terbabit atau tidak dalam GISBH dan tugas menyiasat adalah di bawah kuasa polis.

Katanya, tugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hanya membantu untuk melindungi kanak-kanak berkenaan.

“Ketika mengambil kanak-kanak ini, kita perlu ada perintah mahkamah dan ketika serah semula juga perlu melalui perintah mahkamah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Persidangan Penuaan Kebangsaan 2024 (NCA 2024) di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha (KSU) KPWKM, Dr Maziah Che Yusoff dan Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Datuk Profesor Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah.

Terdahulu, media melaporkan KPWKM menerima 96 permohonan daripada ibu bapa yang mahu menuntut lebih 200 kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global membabitkan GISBH.

Nancy berkata, ketika ini semua permohonan sudah diteliti dan pihaknya dalam proses untuk memohon kepada mahkamah untuk mengembalikan mereka kepada ibu bapa.

Katanya, pihaknya meneliti terlebih dahulu kesahihan status ibu bapa kanak-kanak berkenaan kerana ada dalam kalangan kanak-kanak itu tidak pernah mengenali ibu bapa mereka.

Nancy berkata, sebelum ini satu video tular di media sosial mendakwa empat kanak-kanak itu diambil oleh JKM seperti yang dikatakan oleh ibu bapa mereka.

“Saya ingin tegaskan JKM bukan mengambil anak orang, kerja kita adalah melindungi dan menyelamatkan mereka,” katanya.

Katanya, kes sudah selesai dan polis mendapati kurang bukti dan meminta JKM menyerahkan kanak-kanak terbabit di bawah penjagaan waris bapa kanak-kanak itu.

“Kanak-kanak terbabit telah diserahkan kepada waris bapa mengikut peraturan dan perintah mahkamah dan sekiranya ibu bapa kanak-kanak itu ingin mengambil semula anaknya perlu melalui perintah mahkamah berdasarkan laporan JKM,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top