
MANILA: Hujan lebat yang dicetuskan oleh ribut tropika Trami telah mengakibatkan banjir besar di timur Filipina pada lewat Selasa dan memerangkap orang ramai, dengan beberapa mangsa turut terperangkap di atas bumbung rumah mereka dan merayu untuk diselamatkan bot dan trak pasukan penyelamat.
Insiden itu turut menyebabkan negara itu terpaksa menggantung operasi di peringkat kerajaan dan menutup sekolah, dengan Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. pada Rabu mengarahkan pasukan penyelamat untuk bersiap sedia dalam kemungkinan berlakunya tanah runtuh.
Beliau dalam pada itu turut mengarahkan agensi kerajaan untuk memantau dengan teliti jumlah hujan pada hari-hari mendatang, kawalan sumber kerajaan dan memenuhi keperluan orang ramai, lapor Al Arabiya.
“Perkara terburuk masih akan datang, saya takut. Mari semua buat persiapan. Jumlah air hujan tidak pernah berlaku sebelum ini. Kita harus memantaunya dengan teliti,” katanya dalam satu sesi taklimat.
Sementaraitu, Pentadbiran Perkhidmatan Atmosfera, Geofizik dan Astronomi Filipina (PAGASA) dalam laporannya memaklumkan, ribut tropika Trami dianggarkan berlaku pada 200 kilometer dari bandar timur Casiguran di wilayah Aurora, dan dijangka mengakibatkan kejadian tanah runtuh pada petang Rabu dan awal pagi Khamis.
Beribu-ribu penduduk kampung telah berpindah ke pusat perlindungan kecemasan di wilayah timur laut, dan amaran ribut telah diaktifkan di dua wilayah utara dan tengah, termasuk di ibu kota Manila yang padat dengan penduduk. Namun, tiada kematian atau kecederaan besar dilaporkan.
Anggota pengawal pantai telah menyelamatkan penduduk di perkampungan banjir di wilayah timur Sorsogon, Albay, Camarines Sur, Catanduanes dan kawasan terpencil sejak Selasa, tetapi pihak berkuasa wilayah berkata bilangan bot penyelamat dan anggota tidak mencukupi.
Ribut tropika Trami itu turut mengakibatkan beribu-ribu penumpang dan pekerja kargo terkandas di beberapa pelabuhan selepas pengawal pantai memaklumkan pihaknya menggantung perkhidmatan feri antara pulau dan menghalang bot nelayan daripada pergi ke laut yang semakin bergelora. -Agensi/– HARAKAHDAILY 23/10/2024








