Tipu 'kutu emas': 69 laporan diterima, babit kerugian RM48.5 juta

Tipu 'kutu emas': 69 laporan diterima, babit kerugian RM48.5 juta

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis sudah menahan lima orang termasuk dalang utama Siti Hajartul Haini Abd Hamid dalam serbuan berasingan di Kedah dan Kuala Lumpur serta merampas enam telefon bimbit pelbagai jenama.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata, empat individu yang ditahan kelmarin dan semalam itu terdiri tiga lelaki dan seorang wanita berusia 29 hingga 38 tahun.

Menurutnya, kesemua mereka yang ditahan termasuk Siti Hajartul direman sehingga 25 Oktober ini bagi membantu siasatan penipuan pelaburan emas ‘pa jewellery’ dan ‘paddy jewellery’.

“Sehingga kini, sejumlah 69 laporan polis diterima berkaitan penipuan pelaburan ini membabitkan nilai kerugian keseluruhan berjumlah RM48.5 juta.

“Siasatan mendedahkan skim pelaburan ini menawarkan lima pakej pelaburan yang berbeza dengan pulangan berdasarkan harga emas semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pelabur yang berminat diarahkan untuk membuat bayaran ke akaun syarikat paddy jewellery dan paddy legacy.

“Bagaimanapun, pelabur tidak menerima pulangan seperti dijanjikan.

“Siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan polis menasihatkan mana-mana individu yang mungkin menyertai skim pelaburan ini untuk tampil membuat laporan polis di mana-mana balai polis berhampiran supaya siasatan lanjut dapat dijalankan,” katanya.

Terdahulu Harian Metro melaporkan wanita dikehendaki polis, Siti Hajartul Haini Abd Hamid berhubung penipuan jualan emas membabitkan kerugian jutaan ringgit ditahan, semalam.

Wanita berusia 37 tahun itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas semalam sebaik tiba ke negara ini dari Dubai.

Muka depan Metro Ahad sebelum ini melaporkan lebih 100 mangsa berputih mata apabila kerugian lebih RM110 juta selepas diperdaya dengan harga emas 916 yang lebih rendah dari pasaran oleh wanita dikenali Siti Hajartul Haini Abd Hamid sejak dua bulan lalu.

Kebanyakan mangsa yang bekerja di satu unit di sebuah hospital awam di Lembah Klang selain guru di beberapa negeri, kini diburu kerana menjadi orang tengah yang mengumpul wang berkenaan.

Sama seperti skim kutu yang memperdaya mangsa sebelum ini, pelabur ditawarkan dengan harga murah sehingga ada yang sanggup meminjam daripada saudara mara, rakan dan peminjam wang tanpa lesen semata-mata merebut ‘tawaran hebat’ terbabit.

Kebanyakan mangsa tampil membuat laporan kepada Pengarah Advokasi Khidmat Guam Dr Mahmud Jumaat untuk mengambil tindakan undang-undang berhubung perkara itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top