Kuala Lumpur: Persatuan Pereka Bumiputera Malaysia (MBDA) menganjurkan Kempen MY Gaya Month 2024 bagi mempromosikan pelbagai barangan buatan Malaysia.
Ia juga bertujuan melahirkan usahawan baharu sambil memberi peluang kepada graduan fesyen daripada akademi tempatan untuk menceburi industri merangkumi produk fesyen, gaya hidup dan pelancongan.
Pengerusi MBDA, Bon Zainal Harun berkata, lebih 30 pereka, usahawan gaya hidup dan akademi fesyen lokal mempamerkan koleksi terbaru mereka bertemakan fabrik berunsur warisan pada kempen yang sedang berlangsung selama sebulan hingga 5 November ini.
“Acara selama sebulan ini menampilkan kepelbagaian wawasan dan kreativiti pereka fesyen tempatan sambil memberi peluang kepada masyarakat serta pelancong luar untuk menghayati keindahan industri fesyen serta gaya hidup tempatan.
“Ini adalah langkah penting bagi kami untuk mengangkat budaya, seni dan fesyen negara ke tahap lebih tinggi,” katanya.
Tambah Bon, kempen ini turut mendapat kerjasama Pavilion Damansara Height sebagai rakan strategik dan penaja lokasi membabitkan pereka, usahawan dan akademi yang terlibat termasuk jenama terkenal seperti Batek by Rasta Rashid dan Bon Zainal.
Sementara itu, Penaung MBDA, Datuk Tom Abang Saufi, menambah bahawa Malaysia kaya dengan seni, budaya, fesyen dan kepelbagaian etnik yang dapat mempromosikan Malaysia di persada antarabangsa.
Beliau turut menekankan bahawa kita harus berbangga dengan batik Malaysia yang bukan sahaja boleh digunakan dalam pakaian tetapi juga dalam pelbagai kegunaan harian.
Kempen MY Gaya Month 2024 dirasmikan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar dalam satu majlis yang diadakan bersama MBDA, baru-baru ini.
Lebih menarik kempen turut diserikan dengan pertunjukan fesyen di Pavilion Damansara Height, Kuala Lumpur pada 26 Oktober ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd



