hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Lima persatuan peniaga yang sebelum ini menguruskan bazar Ramadan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menyerahkan urusan pengoperasian di 65 lokasi bazar kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Persatuan itu membabitkan Persatuan Penjaja dan Peniaga Bumiputra wilayah, Persatuan pekedai dan Peruncit Wilayah, Persatuan Penjaja Kecil Melayu Wilayah, Persatuan Pasar Malam kuala Lumpur dan Persatuan Prihatin Kuala Lumpur.
Wakilnya, Pengerusi Pertubuhan Pengurusan Pasar Malam KL (PMKL) Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berkata, ia juga selaras dengan arahan dikeluarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa yang mahu semua bazar tidak lagi diserahkan kepada pihak ketiga untuk dikendalikan, sebaliknya diuruskan oleh DBKL.
Menurutnya, sejak 2013 pihak mereka diberi mandat untuk menguruskan semua lokasi bazar Ramadan yang sebelum ini diuruskan persatuan kecil yang bukan berstatus persatuan peniaga atau peniaga kecil.
“Tetapi tahun ini diminta pihak DBKL menguruskan semula keseluruhan bazar Ramadan, jadi inilah keputusan yang tidak pernah dibincangkan (secara bersama) yang dibuat secara tidak adil kepada pihak persatuan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya tidak mahu terbabit dalam urusan berkenaan selepas ini bukan kerana sebagai tanda protes sebaliknya mahu memberi peluang kepada pihak berkenaan melaksanakan tanggungjawabnya itu secara tuntas.
Gulam Muszaffar berkata, pihaknya juga tidak pernah mempunyai isu penjualan petak hingga mencecah ribuan ringgit dan persepsi itu perlu diperbetulkan kepada umum.
Katanya, perkara itu tidak berlaku di bawah 65 lokasi bazar kendalian mereka sebelum ini sebaliknya beliau mendakwa ia berlaku di tapak bazar Ramadan Jalan TAR.
“Kami persatuan ikut SOP (prosedur operasi standard). Jangan jadikan isu Jalan TAR membabitkan semua 65 lokasi lain (selain) isu yang berlaku di Bazar Deepavali di Brickfields jangan hukum kami di sini, tidak adil,” katanya mengakui mereka tersinggung dengan kenyataan dikeluarkan itu.
Sementara itu, Presiden Persatuan Peniaga Bumiputera Wilayah Persekutuan Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, beliau juga kesal dengan keputusan berkenaan yang seolah-olah pihak mereka seperti ‘kartel’ tapak bazar.
Katanya, justeru susulan penyerahan 65 kawasan tapak bazar berkenaan, pihaknya mahu pihak DBKL mengekalkan semua lokasi itu dan bilangan lot niaga seperti tahun ini bersama pemilihan penjaja musim perayaan yang telus.
Menurutnya, mereka tidak mahu ada penafian kepada peniaga yang mahu dan layak memohon kerana tidak ramai penjaja tahu menggunakan Internet.
“Surat tawaran perlu dikeluarkan sebulan lebih awal kepada peniaga dan membenarkan kemasukan awal ke tapak iaitu seminggu lebih awal serta lesen perlu dikeluarkan serta merta apabila bayaran penuh dilakukan.
“Selain itu, pihak berkenaan juga diminta melakukan undian di semua lokasi, mengawal dan memantau pembabitan warga asing dan penjaja tanpa lesen dengan mengambil tindakan.
“Persatuan dan agensi penguatkuasaan serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjadi pemerhati dalam pematuhan SOP, ” katanya.
Selain itu, katanya, persatuan akan membangunkan aplikasi bagi menerima aduan penjaja dan orang awam bagi menilai keupayaan DBKL mengurus bazar musim perayaan.
Terdahulu, Dr Zaliha memuat naik hantaran mengenai isu tular Bazar Deepavali di Brickfields dikatakan ada peniaga tidak dibenarkan berniaga di situ dan semakan dilakukannya mendapati pengurusan bazar itu dikendalikan oleh sebuah persatuan, termasuk berkaitan pengurusan peniaga bazar.
Pihak ketiga yang menguruskan perkara itu didakwa tidak mengikut arahan ditetapkan DBKL dan perkara seumpama itu bukan kali itu sahaja berlaku sebaliknya turut berlaku ketika waktu bazar Ramadan lalu dan perlu ada tindakan serius.
“Saya sudah arahkan DBKL untuk pastikan, semua bazar selepas ini tidak lagi diserahkan kepada pihak ketiga untuk dikendalikan, sebaliknya DBKL sendiri perlu menguruskan bazar berkenaan,” tulisnya di Facebook (FB).
© New Straits Times Press (M) Bhd



