harisfadli@hmetro.com.my
Klang: Dipaksa jadi hamba seks dan dipukul jika enggan melayan pelanggan.
Itu nasib tujuh wanita warga Vietnam yang berjaya berjaya diselamatkan dalam operasi penguatkuasaan di sebuah premis rumah kedai dua tingkat di sini, kelmarin.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berkata, kesemua wanita berusia lingkungan 32 hingga 45 tahun terbabit masuk menggunakan pas pelancong.
“Berdasarkan maklumat aduan, tujuh wanita warganegara Vietnam itu dilaporkan dikurung di premis tersebut dan dipukul jika enggan melayan pelanggan.
“Kesemua wanita itu masuk sebagai pelancong tetapi dipaksa dan dieksploitasi sebagai pekerja seks di premis tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kenyataan sama JIM berkata, premis berkenaan dikawal ketat oleh individu warga Bangladesh yang disyaki berperanan sebagai kapten malah dipantau menerusi kamera litar tertutup (CCTV) sepanjang masa.
Katanya, pasukan operasi terpaksa memecahkan pintu utama kerana penjaga premis atau kapten enggan bekerjasama dan cuba melarikan diri melalui tingkap di tingkat dua bangunan, tetapi berjaya ditahan.
“Berdasarkan temu bual, kesemua pasport wanita terbabit dipegang oleh individu dipercayai ejen yang menawarkan pekerjaan kepada mereka.
“Mereka hanya dibayar RM60 bagi setiap pelanggan dan pergerakan dikawal
ketat, termasuk larangan keluar untuk membeli makanan dan barang keperluan,”
katanya.
Katanya, operasi jam 11.23 malam itu membabitkan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Pencegahan ATIPSOM & AMLA, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Operasi ini turut menggunakan pendekatan mengenalpasti mangsa pemerdagangan orang (eksploitasi seks) dalam kalangan golongan rentan dengan berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.
© New Straits Times Press (M) Bhd




