Belanjawan 2025 rangsang pertumbuhan PKS, iktiraf sumbangan usahawan wanita

Belanjawan 2025 rangsang pertumbuhan PKS, iktiraf sumbangan usahawan wanita

Kuala Lumpur: Belanjawan 2025 mampu menggalakkan pertumbuhan Industri Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan selain mengiktiraf sumbangan usahawan wanita kepada negara.

Presiden Nasional Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia, Chin Chee Seong berkata, ia juga terus memberi tumpuan kepada penyediaan kemudahan pinjaman dan jaminan, termasuk bantuan pembiayaan untuk usahawan wanita, sekali gus menggalakkan mereka kembali bekerja.

Katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga memasukkan beberapa langkah dalam Belanjawan 2025 untuk menyokong pertumbuhan PKS, menunjukkan komitmen berterusan kerajaan untuk membantu dan memacu pembangunan perniagaan tempatan.

“Kerajaan sudah mengumumkan kemudahan pinjaman dan jaminan pinjaman perniagaan berjumlah RM40 bilion dalam belanjawan, termasuk RM3.2 bilion untuk perusahaan mikro, RM20 bilion jaminan pembiayaan, dan RM3.8 bilion dana pinjaman PKS untuk menyokong pendigitalan dan transformasi automasi,” katanya.

Sementara Naib Presiden Nasional persatuan, Miccele Siow berkata, kerajaan bukan sahaja terus menyediakan kemudahan pinjaman untuk merancakkan pembangunan PKS, tetapi memberi sokongan kepada usahawan wanita.

Katanya, ia membantu wanita memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi masyarakat dan negara, membolehkan mereka menyumbang kepada pembentukan semula ekonomi, mempromosikan perubahan sosial, dan mewujudkan masa depan yang lebih inklusif dan stabil.

“Selepas menubuhkan perniagaan, wanita bukan sahaja menyumbang kepada ekonomi negara tetapi menggalakkan kesaksamaan jantina, memberikan kesan yang lebih luas kepada masyarakat.

“Agensi seperti Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) juga memperkenalkan Returnship Program’ untuk menggalakkan wanita memasuki semula sektor kewangan, memberikan sokongan dan peluang yang diperlukan untuk membantu wanita mendapatkan semula kedudukan mereka di tempat kerja,” katanya.

Menurutnya, sokongan kerajaan kepada usahawan wanita meliputi pembangunan kepimpinan melalui ‘Program Perantisan Kepimpinan Wanita’ (Perantis) yang dilancarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi mengukuhkan peranan kepimpinan wanita di tempat kerja.

“Ini adalah berita yang menggembirakan dan kita berharap sokongan pembiayaan yang diberikan kepada usahawan wanita tidak terhad kepada empat institusi kewangan yang disebutkan sebelum ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top