Manchester: Jaringan akrobatik Erling Haaland yang menakjubkan mewarnai kemenangan 5-0 Manchester City ke atas Sparta Prague awal pagi tadi sekali gus, melangkah ke tempat ketiga dalam carta Liga Juara-Juara.
Pemain Norway itu menjaringkan dua gol, termasuk satu gol dari belakang tumit pada paras bahu ketika City menguasai perlawanan menentang juara Czech itu.
Phil Foden, John Stones dan Matheus Nunes juga menjaringkan gol untuk pasukan Pep Guardiola, yang meneruskan rekod tanpa kalah dalam semua pertandingan musim ini.
“Dia memang luar biasa, bukan?” kata Foden mengenai Haaland.
“Jika saya cuba melakukan itu, saya pasti akan menarik otot pangkal peha saya. Saya tidak tahu bagaimana dia melakukannya, saya rasa itu semua kerana kakinya yang panjang.”
Sparta mengumpul empat mata dari dua perlawanan awal Liga Juara-Juara mereka menentang Salzburg dan Stuttgart, tetapi City berada di kelas tersendiri dan terlalu jauh untuk dikejar pelawat.
“Perlawanan bertambah memeritkan pada separuh masa kedua selepas kedudukan 2-0. Ia menjadi sangat sukar dan kami sukar untuk menghadapinya,” kata pengurus Sparta, Lars Friis.
Foden bergelut untuk kembali cergas pada tahap terbaiknya, menambahkan lagi masalah kecederaan buat City selepas Rodri dan Kevin De Bruyne diketepikan.
Namun, terdapat tanda-tanda positif untuk Guardiola apabila, pemain antarabangsa England itu menjaringkan gol pembukaan hanya selepas tiga minit.
© New Straits Times Press (M) Bhd




