am@hmetro.com.my
Kuantan: Enam anak bekas ahli Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) akan memulakan pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di daerah ini dan Sekolah Menengah Agama (SMA) di Pekan dalam tempoh terdekat.
Enam beradik itu, membabitkan empat lelaki dan dua wanita berusia antara 13 dan 17 tahun sebelum ini hanya belajar di madrasah yang dikendalikan GISBH dan dijangka memulakan pelajaran secara formal bulan depan, selepas segala urusan berkaitan dokumentasi selesai.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Dr Asmadi Abdul Rahman berkata berkata, mereka baru saja dilepaskan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Sebelum ke sekolah, mereka sudah menghadiri kelas tuisyen untuk meningkatkan kefahaman dan alhamdulillah, mereka menguasai 3M iaitu menulis, membaca dan mengira.
“Sebelum itu juga kita adakan simulasi di asrama dan memastikan mereka mengikuti syarat yang ditetapkan dan mereka tiada sebarang tentangan, sebaliknya menunjukkan minat,” katanya ketika ditemui selepas membawa enam beradik itu membeli barang kelengkapan sekolah di sebuah pasar raya di sini, semalam.
Antara peralatan persekolahan itu ialah baju, seluar, kain, kasut dan beg demi keselesaan apabila memasuki sekolah.
Asmadi yakin urusan berkaitan dokumentasi dengan Pejabat Pendidikan Daerah, khususnya Jabatan Pendidikan Negeri Pahang tidak berdepan masalah.
Berdasarkan rekod, enam beradik itu adalah daripada 27 beradik dengan seorang bapa dan tiga ibu bekas pengikut GISBH yang kini dibantu MUIP.
Sebelum ini, enam beradik itu hanya bergaul dalam kalangan mereka sahaja.
© New Straits Times Press (M) Bhd




