am@hmetro.com.my
Kangar: Terdapat sindiket dikesan membayar upah kepada remaja yang tinggal berhampiran kawasan sempadan Malaysia-Thailand untuk menyeludup bahan api bersubsidi di Perlis.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perlis, Hasbullah Abd Rashid berkata golongan remaja itu dibayar sehingga RM100 bagi satu perjalanan oleh sindiket itu di sekitar Padang Besar dan Wang Kelian.
Menurutnya, terdapat 37 stesen minyak komersil beroperasi dan enam daripadanya serta dua stesen minyak tidak bersubsidi terletak di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar dan Wang Kelian.
“Sindiket ini mengupah remaja ini dengan anggaran RM100 bagi satu perjalanan ke stesen minyak di seluruh negeri ini untuk mengisi bahan api terutama petrol RON95.
“Selain penggunaan tangki tambahan yang diubahsuai pada kereta yang dibawa, sindiket akan memberi arahan kepada remaja ini untuk turut menyertakan sekali tong minyak ‘jerry can’ bagi mengisi bahan api yang dibawa.
“Pengisian bahan api ini kemudian akan dipindahkan ke stor haram yang banyak wujud di kawasan tersembunyi sekitar sempadan ini atau akan dibawa ke negara Thailand untuk dijual kepada individu atau kedai tertentu menggunakan alasan melancong,” katanya ketika ditemui di Pejabat KPDN Perlis, Tanjung Gorah, Sena, di sini hari ini.
Katanya, disebabkan itulah ada penjualan petrol RON95 dalam skala kecil di negara jiran disebabkan perbuatan remaja yang diupah sindiket ini.
“Kita lihat remaja ini akan berulang alik antara lima hingga enam kali sehari secara purata bagi menunaikan kuota atau kapasiti bahan api bersubsidi yang diperlukan sindiket untuk diseludup.
“Dalam hal ini juga, sindiket akan menggunakan kenderaan tempatan dengan tangki minyak yang diubahsuai berbanding kenderaan seperti pikap berpendaftaran Thailand untuk mengisi petrol atau diesel bersubsidi berkenaan,” katanya.
Sementara itu, katanya, penguatkuasaan KPDN negeri itu menerusi ‘Ops Tiris’ berjaya membawa kepada penurunan mendadak rampasan bahan kawalan termasuk petrol dan diesel bersubsidi di Perlis.
© New Straits Times Press (M) Bhd