sukan@hmetro.com.my
Kuantan: Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad tidak berasa banyak kelebihan bakal dinikmati skuad itu selepas pertukaran stadium apabila berdepan Kelantan Darul Naim (KDN) FC di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, malam esok.
Legenda bola sepak Singapura itu berkata, ini disebabkan skuad Tok Gajah turut menempuh perjalanan ke Temerloh dari Kuantan tetapi ia tidak sejauh perjalanan membabitkan pasukan lawan.
“Saya rasa tidak banyak kelebihan kerana kita pun harus melalui perjalanan ke Temerloh cuma ia agak lebih dekat buat Sri Pahang berbanding lawan.
“Tetapi kelebihan tetap ada kerana saya jangkakan ramai peminat skuad Tok Gajah akan hadir untuk memberikan sokongan kepada pemain selepas mencatat kemenangan 1-0 ke atas Penang FC pada 20 Oktober lalu,” kata jurulatih berusia 62 tahun itu.
Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam kenyataan semalam mengumumkan pindaan jadual perlawanan Liga Super membabitkan perlawanan KDN menentang Sri Pahang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh.
Pindaan itu dipersetujui kedua-dua pasukan kerana Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu, Kelantan masih terbabit dalam kerja naik taraf padang dan KDN akan menjadi pasukan tuan rumah pada perlawanan itu.
Ditanya perancangan skuad itu terutama pemain yang akan mengetuai jentera serangan, Fandi berkata, Mykola Ahapov dan Kpah Sherman terus menjadi taruhan.
Katanya, tumpuan kini lebih kepada penyerang Ukraine, Ahapov yang semakin menunjukkan peningkatan prestasi terutama daripada segi kepantasan.
“Sekarang harapan kita ialah Ahapov percaya pada diri sendiri dan tenang apabila mempunyai peluang di hadapan awang awan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, khidmat dua pemain pertahanan, Stefano Brundo dan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham masih tidak dapat ditagih kerana masih belum pulih daripada kecederaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




