Laporan insiden tanah runtuh Taman Melawati akan dibentang pada MTES

Laporan insiden tanah runtuh Taman Melawati akan dibentang pada MTES

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Laporan penuh kejadian tanah runtuh di Taman Melawati, Ampang minggu lalu akan dibentangkan di Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES) dalam masa terdekat.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau masih meneliti laporan berhubung punca bencana itu sebelum dibentang dan dibincangkan untuk tindakan lanjut MTES.

“Laporan akan dibentangkan dalam Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES) untuk perbincangan dan tindakan selanjutnya.

“Bagaimanapun saya akan teliti dahulu laporan tersebut,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Khemah Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di perkarangan Bangunan SUK di sini, hari ini.

Simbolik penyerahan itu dilakukan Amirudin kepada Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan.

Ditanya mengenai keadaan di sekitar kawasan tanah runtuh itu, Amirudin berkata, keadaan kawasan kejadian selamat dan penduduk sudah dibenarkan pulang ke rumah.

“Pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sudah memasang dinding penghadang sementara di sekitar lereng bukit berlakunya tanah runtuh itu.

“Dinding penghadang boleh menghalang gelongsoran tanah di kawasan kejadian sekiranya berlakunya pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Kerajaan Selangor menyerahkan tiga khemah khas PKTK kepada IPK Selangor bagi meningkatkan kesiapsiagaan dalam menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) serta bencana di negeri ini.

Khemah yang direka berdasarkan teknologi Perancis itu boleh menjadi pusat kawalan operasi di lokasi bencana yang

membantu pasukan keselamatan menyelaraskan tindakan dengan lebih cekap dan tersusun.

Katanya, khemah bernilai RM300,000 itu adalah hasil sumbangan dana Selangor Prihatin dan pihaknya akan menambah kemudahan Internet mudah alih.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top