16 kabin sementara tempat pelajar susulan bangunan SMK Tamparuli diisytiharkan tidak selamat

16 kabin sementara tempat pelajar susulan bangunan SMK Tamparuli diisytiharkan tidak selamat

am@hmetro.com.my

Tuaran: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah akan menyewa 16 kabin untuk menempatkan sementara pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tamparuli yang diisytiharkan tidak selamat digunakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, berkata JPN Sabah sudah mengemukakan permohonan sewaan 16 kabin itu kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan menunggu kelulusan.

“Pendekatan itu adalah antara langkah merangkumi penyewaan kabin dan penempatan sementara pelajar Tingkatan Enam di bangunan lain.

“Selain itu, JPN juga mengenalpasti Pusat Kegiatan Guru (PKG), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tuaran untuk dijadikan penempatan sementara kepada 256 pelajar tingkatan enam dari sekolah itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, laporan pemeriksaan oleh JKR Sabah Julai lalu mendapati bangunan Blok B, Blok C, Asrama Puteri, Asrama Putera, Blok Pra-U dan Blok Bengkel RBT mengalami kerosakan serius dan tidak selamat untuk diduduki.

Katanya, laporan itu dibuktikan lagi apabila sekolah berkenaan mengalami kerosakan besar ketika ribut kencang 18 September lalu menyebabkan sebahagian bumbung sekolah itu musnah diterbangkan angin.

Madius berkata, KPM menyalurkan peruntukan bencana bernilai RM190,000 kepada JPN Sabah pada 25 September untuk menangani kerosakan bumbung SMK Tamparuli.

“Ketika ini, kerja pembaikan bumbung bangunan pejabat pentadbiran sekolah itu giat dilaksanakan dan dijangka selesai tidak lama lagi,” katanya.

Katanya, menerusi pelan jangka panjang, KPM melalui JPN Sabah merancang mengemukakan permohonan pembinaan bangunan gantian SMK Tamparuli.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top