Rodtang tetamu jemputan Grand Final Kuda Merah International Muaythai Challenge

Rodtang tetamu jemputan Grand Final Kuda Merah International Muaythai Challenge

Shah Alam: Kejohanan Grand Final Kuda Merah International Muaythai Challenge 2024 edisi ke-75 tampil dengan kelainan dengan kehadiran juara One Championship, Rodtang Jitmuangnon sebagai tetamu jemputan di Stadium Titiwangsa Kuala Lumpur pada 16-17 November ini.

Presiden Kelab Muay Thai Kuda Merah Kuala Lumpur, Rosli Yaacob berkata, kejohanan berprestij anjuran Kelab Muaythai Kuda Merah Kuala Lumpur bersama Tourism Malaysia, turut bakal menyaksikan seramai 26 petinju terbaik dari dalam dan luar negara akan berentap merebut gelaran King Of The Ring.

“Dia (Rodtang) turut menghantar dua petinju untuk berlawan iaitu adik lelakinya Nong Ice dan adik ipar Zaidania Looksaikongdin. Pihak penganjur turut mengadakan sesi bertemu dengannya pada 16 November jam 3 hingga 4 petang.

“Kami mensasarkan kehadiran lebih 6,000 penonton daripada dalam dan luar negara bagi memenuhi ruangan Stadium Titiwangsa Kuala Lumpur, sekali gus menjadi sebuah acara yang hebat mengisi kalendar Hari Wilayah Persekutuan 2024,” katanya pada sidang media kejohanan di sini hari ini.

Rosli berkata, beberapa perlawanan menjadi tumpuan iaitu petinju dari Phet Muaythai, Izat Fazzaki Mohamad Zaki akan berdepan juara Kun Khmer Pich Kakada Red Wolves dari Kemboja selain petinju dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Mohd Shahrul Hakim Rosli akan bertemu wakil Iran, Majid Baghal.

Beliau berkata, satu tali pinggang bakal ditaja penyanyi terkemuka negara Datuk Seri Siti Nuhaliza akan dipertandingkan dalam kategori Wanita Super Fight.

“Selain itu, turut diadakan Festival Sendha Lokha bersama Kelab Muay Thai Kuda Merah bersempena kejohanan Grand Final. Festival ini akan berlangsung pada 15,16, dan 17 November di tapak parkir Stadium Titiwangsa Kuala Lumpur.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top