Lelaki dipercayai mabuk langgar murid depan sekolah

Lelaki dipercayai mabuk langgar murid depan sekolah

am@hmetro.com.my

Port Dickson: Murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Port Dickson di sini, cedera selepas dilanggar kereta dipandu seorang lelaki dipercayai mabuk, hari ini.

Dalam kejadian jam 7.10 pagi itu, mangsa sedang melintas jalan sebelum dilanggar kereta Perodua Myvi dipandu suspek.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Maslan Udin berkata, pemandu gagal mematuhi lampu isyarat merah dan melanggar mangsa yang sedang melintas.

“Kejadian menyebabkan mangsa patah ibu jari kaki kanan serta luka di kaki dan tangan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Susulan itu, katanya, polis menahan pemandu berusia 28 tahun itu.

Menurutnya, ujian saringan alkohol yang dilakukan menunjukkan bacaan alkohol pemandu berkenaan sebanyak 230mg alkohol/100ml darah (lebihan 153mg alkohol/100ml darah).

“Suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga Ahad untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top