surayaroslan@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low menganggap anak tiri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Riza Shahriz Abdul Aziz sebagai kawan baik.
Jasmine, 51, berkata, dia adalah kenalan Riza Shahriz dan mereka pernah bertemu beberapa kali termasuk dalam satu percutian untuk bermain ski bersama Jho Low dan keluarganya di Whistler, Kanada antara Disember 2012 dan Januari 2013.
“Selepas saya meninggalkan jawatan di 1MDB, saya bertemu dan berkenalan dengannya ketika melancong ke luar negara bersama Jho Low,” katanya ketika membacakan pernyataan saksinya setebal 25 muka surat itu.
Jasmine memberi keterangan sebagai saksi plaintif 1MDB dan tiga anak syarikatnya, iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, dan 1MDB Energy (Langat) Limited yang telah menfailkan saman terhadap Riza Shahriz serta dua syarikatnya atas dakwaan menerima dana kira-kira AS$248 juta yang disalah guna untuk kepentingan peribadi termasuk membiayai penerbitan filem serta membeli pelbagai hartanah.
Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin yang mewakili Riza Shahriz, Jasmine ditanya sama ada dia cuba menggambarkan defendan pertama sebagai kawan rapat Jho Low dalam keterangannya.
“Saya tidak menafikan itu (kawan baik),” menjelaskan bahawa pemahamannya adalah berdasarkan pemerhatian peribadi.
Wan Azwan Aiman: Jadi anda membuat andaian itu berdasarkan keterangan anda bertemu dengan defendan pertama (Riza Shahriz) ketika lawatan bermain ski di Kanada. Adakah itu penanda aras maksud kawan rapat anda?
Jasmine: Saya memberi contoh.
Wan Azwan Aiman: Anda juga pernah ke sana semasa lawatan ski. Adakah itu menjadikan anda kawan baik Jho Low juga?
Jasmine: Saya tidak menafikan itu.
Jasmine seterusnya menyatakan bahawa dia tidak mengetahui mengenai pemindahan AS$700 juta daripada 1MDB kepada Good Star Ltd, sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Jho Low, sebagai pembayaran semula wang pendahuluan yang dikatakan.
Semasa berada di 1MDB, Jasmine menyatakan bahawa dia tidak mengetahui akaun bank di City National Bank di Los Angeles dan tidak mempunyai pengetahuan mengenai pemindahan lebih AS$10 juta ke dalam akaun itu yang dimaksudkan sebagai akaun operasi untuk Red Granite Pictures .
Pada 7 Mei 2021, 1MDB dan tiga anak syarikatnya iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited dan 1MDB Energy (Langat) Limited memfailkan saman terhadap Riza Shahriz serta dua syarikatnya atas dakwaan menerima dana kira-kira AS$248 juta yang disalah guna untuk kepentingan peribadi termasuk membiayai penerbitan filem serta membeli pelbagai hartanah.
1MDB selaku plaintif juga mendakwa kesemua defendan menerima dana itu yang diketahui telah diseleweng daripada syarikat tersebut dan secara tidak langsung membantu pelanggaran kewajipan fidusiari atau amanah oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low.
Syarikat itu mendakwa Riza Shahriz adalah seorang yang tidak jujur dan beliau mempunyai pengetahuan bahawa urus niaga membabitkan penerimaan pelbagai pindahan wang dalam tempoh yang material iaitu antara 2010 dan 2012 adalah urus niaga yang tidak jujur.
Kes itu didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan.
Plaintif memohon deklarasi bahawa Riza Shahriz bertanggungjawab menyalahgunakan dana itu dan menuntut supaya ia dibayar balik.
Riza Shahriz dan dua syarikatnya dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada 25 Oktober 2021 mendakwa telah mendapat pinjaman daripada keluarga diraja Arab Saudi atau International Petroleum Investment Company untuk menerbitkan beberapa filem di Amerika Syarikat.
Pada Mei 2020, mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Riza bagi pertuduhan pengubahan wang haram yang membabitkan AS$248 juta yang dikaitkan dengan dana 1MDB.
Keputusan itu adalah berkaitan kes jenayah dan bukan saman sivil yang difailkan 1MDB terhadapnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




