Penuntut didakwa tipu NGO dibebaskan dengan jaminan polis

Penuntut didakwa tipu NGO dibebaskan dengan jaminan polis

am@hmetro.com.my

Jitra: Penuntut yang ditahan reman dua hari sejak semalam kerana dipercayai terbabit menipu pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan mengesahkan perkara itu ketika dihubungi hari ini.

Katanya, reman terhadap pelajar itu tamat hari ini.

Semalam, suspek berusia 23 tahun itu dibawa ke Mahkamah Jitra dan direman dua hari ini untuk membantu siasatan kerana terbabit dalam penipuan membabitkan orang awam dan beberapa NGO.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, wakil NGO Seberang Perai Pulau Pinang, Eng Hiap Boon berkata, susulan penahanan penuntut itu kelmarin, dua lagi laporan polis dibuat terhadapnya semalam.

Menurutnya, laporan pertama dibuat oleh seorang pengurus syarikat di Balai Polis Teluk Intan, Perak jam 11.12 pagi membabitkan wang berjumlah RM19,100 yang dipindahkan ke akaun suspek pada Disember tahun lalu.

“Selain itu, laporan kedua pula dibuat di Bukit Mertajam, Pulau Pinang jam 11.30 pagi oleh wakil seorang NGO di situ.

“Bagi kes di Teluk Intan, penuntut terbabit dikatakan menghubungi individu berkenaan dan berpura-pura menangis dengan alasan tidak mampu membayar tunggakan yuran sebanyak RM5,000.

“Disebabkan simpati individu berkenaan memindahkan wang berjumlah RM1,000 pada hari sama,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Eng berkata, bukan setakat memindahkan wang ke akaun penuntut itu, malah pengurus itu juga turut menghantar butiran remaja berkenaan kepada kenalannya.

Katanya, akhirnya dalam tempoh empat hari, sebanyak RM18,160 berjaya dikumpulkan untuk didermakan kepada penuntut itu.

“Modus operandi digunakan terhadap mangsa dari Teluk Intan itu, hampir sama dengan tindakan dilakukan dalam kes terdahulu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top