Young Tigers kekal rekod kalah, kali ini dibedal Australia

Young Tigers kekal rekod kalah, kali ini dibedal Australia

rizar@mediaprima.com.my

Johor Bahru: Skuad remaja negara menamatkan pusingan liga tanpa sebarang mata selepas mudah diratah Australia 9-3 dalam Kejohanan Hoki Bawah 21 (B-21) Piala Sultan Johor (SOJC) edisi ke-12 di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, hari ini.

Kekalahan itu menyaksikan skuad kendalian I Vikneswaran akan berdepan Jepun bagi penentuan tempat kelima dan keenam manakala skuad bimbingan Jay Stacy yang menamatkan pusingan liga di tangga teratas layak ke final dan akan berdepan Britain sekali gus mengulangi final pada 2017.

Detik kekalahan Young Tigers bermula seawal minit kedua selepas Australia membuka tirai jaringan apabila Liam Henderson melakukan pukulan kilas menewaskan penjaga gol, Khairul Amirin Kamarul Azian.

Naib juara edisi ke-11 SOJC itu terus mengganas apabila berjaya mencipta gol kedua pada minit ketiga menerusi pukulan sudut penalti Dylan Downey diikuti gol Ian Grobbelar pada minit ketujuh untuk selesa dengan kedudukan 3-0.

Kerapuhan benteng Young Tigers ternyata menjadi `lauk’ buat anak didik Stacy untuk menambah jaringan pada minit ke-15 hasil gol padang Jesse Absolom yang memukul bola deras menewaskan Khairul Amirin.

Young Tigers berjaya menjaringkan gol pertama perlawanan pada minit ke-24 suku ketiga perlawanan selepas berlaku kekalutan di dalam kawasan D dan Danish Danial Abdul Wahab bertindak pantas untuk menolak bola masuk menewaskan penjaga gol, Magnus McCausland.

Selepas jaringan itu, Young Tigers kembali `bernafas’ apabila mencipta gol padang pada minit ke-29 selepas Azimuddin Syakir Kamaruddin melakukan pukulan susulan hasil pukulan sudut penalti menewaskan McCausland untuk kedudukan 2-4.

Bersambung babak kedua pada suku ketiga, Australia menambah derita anak didik Vikneswaran selepas kapten Toby Mallon menjaringkan gol padang pada minit ke-33 dan disusuli giliran Daykin Stanger menambah jaringan pada minit ke-37 menerusi gol padang.

Ketika aksi memasuki minit ke-50, selepas meraih lima pukulan sudut penalti, hanya kali keenam Young Tigers menembusi gawang Australia hasil pukulan deras Harris Iskandar Osman menewaskan McCausland namun Australia menambah jaringan menerusi penalti yang disempurna oleh Henderson pada minit ke-53.

Anak didik Stacy langsung tidak memberi muka kepada Young Tigers apabila menambah jaringan hasil gol padang Patrick Andrew disusuli gol padang Lucas Toonen minit akhir permainan untuk melengkap kemenangan bergaya 9-3 dan layak ke final.

Jadual perlawanan esok, 26 Oktober 2024

Penentuan 5/6

Malaysia mln Jepun

jam 3.35 petang

Penentuan 3/4

India mln New Zealand

jam 6.15 petang

Final

Britain mln Australia

8.35 malam

Semua perlawanan di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, Johor Bahru.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top