Satu mata lebih baik daripada tewas- Rezal Zambery

Satu mata lebih baik daripada tewas- Rezal Zambery

sukan@hmetro.com.my

Temerloh: Penolong ketua jurulatih Kelantan Darul Naim (KDN) FC, Rezal Zambery Yahya menyifatkan keputusan seri 1-1 berdepan Sri Pahang FC di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh malam tadi, adalah lebih baik daripada tewas. 

Katanya, satu mata yang diraih itu juga begitu bermakna buat skuad berkenaan jika bersandarkan kepada kedudukan ke-12 dalam saingan Liga Super ketika ini. 

“Alhamdulillah, satu mata cukup berharga buat pasukan dan pada perlawanan seterusnya, saya harap ada peningkatan yang akan dipersembahkan semua pemain. 

“Namun, secara keseluruhannya saya puas hati dengan adanya semua pemain (kesebelasan utama) yang bermain pada perlawanan ini terutama daripada segi keyakinan dan semangat. 

“Apa yang perlu dilakukan pemain ialah untuk memanfaatkan segala peluang yang ada apabila berada di hadapan gawang,” katanya. 

Mengulas gol penyamaan Sri Pahang pada babak kedua perlawanan, beliau kecewa dengan kesilapan mudah yang dilakukan anak buahnya hingga terlepas tiga mata Ketika mendahului 1-0. 

Katanya, sekiranya kesilapan tu tidak dilakukan, tidak mustahil KDN akan mengutip tiga mata tetapi ia tidak menjadi kenyataan. 

“Oleh itu saya harap semua pemain dapat beraksi dengan lebih bagus selepas ini dan pada masa sama memperbaiki segala kekurangan,” katanya. 

Pada perlawanan itu, gol KDN dijaringkan penyerang import mereka Washington Brandao pada minit ke-21 manakala gol penyamaan Sri Pahang dijaringkan pemain pertahanan, Adam Nor Azlin pada minit ke-60. 

Selepas 13 perlawanan KDN berada di kedudukan ke-12 liga apabila sekadar mengutip tujuh mata.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top