Kajian geoteknikal di ibu kota dimulakan tahun depan

Kajian geoteknikal di ibu kota dimulakan tahun depan

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memulakan kajian geoteknikal secara terperinci di kawasan segi tiga emas di ibu kota bermula tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas peruntukan RM10 juta diumumkan dalam Belanjawan 2025 lalu.

Menurutnya, semua pemaju juga perlu mematuhi syarat baharu permohonan kebenaran merancang berkuat kuasa serta-merta selepas insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India pada Ogos lalu.

“Permohonan kebenaran merancang ini perlu disertakan dengan laporan geoteknikal oleh jurutera bertauliah bagi mengurangkan risiko berlaku insiden tidak diingini.

“DBKL juga sudah mengeluarkan arahan ini dan mewajibkan kepada semua pemaju,” katanya selepas menghadiri Majlis Apresiasi Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Putrajaya, di sini, hari ini.

Pada majlis itum, Dr Zaliha turut menyampaikan 10 Anugerah Pembayar Cukai Tanah Terbaik 2024.

Dr Zaliha berkata, sebelum ini kajian geoteknikal sudah dilaksanakan, namun hanya membabitkan kawasan yang bercerun.

Menurutnya, syarat baharu dikeluarkan itu bertujuan mengurangkan sebarang risiko insiden pada masa akan datang.

Katanya, permohonan merancang ini juga mewajibkan pihak pemaju mengemukakan kajian teknikal sebelum ia diluluskan.

“Tidak kira sama ada kawasan itu bercerun mahupun kawasan lapang, tanah rata atau dimana-mana sahaja di sekitar ibu kota, kita akan pastikan pihak pemaju mengemukakan syarat ditetapkan bersama syarat-syarat lain,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan dijangka mengkaji semula dasar perancangan bandar di ibu negara untuk mengurangkan risiko berlaku insiden tidak diingini seperti tanah jerlus.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top