firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Usaha berterusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam membantu menaik taraf kualiti padang di stadium utama negeri yang digunakan bagi aksi Liga Malaysia (Liga M) amat dihargai Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Giorgio Pompili Rossi, usaha berkenaan akan menambah nilai Liga M yang kini muncul antara liga terbaik di rantau ini.
“Kualiti padang dan fasiliti asas adalah kunci kepada saingan liga yang baik. KBS amat menyokong sukan bola sepak, jadi sudah pasti ia satu pelaburan yang besar dan ia amat bagus untuk bola sepak di negara ini.
“Apa yang kita harapkan apabila bermula musim depan, keadaan padang, sistem perparitan dan semuanya termasuk lampu limpah di stadium akan dinaik taraf.
“Ia akan menyediakan venue yang sebaik mungkin dan semua pasukan boleh memberikan persembahan terbaik. Harapan kami, perkembangan Liga M musim depan akan menjadi lebih baik dari sekarang,” katanya.
Sebelum ini, beberapa isu babitkan kualiti padang menjadi tumpuan peminat bola sepak tempatan.
KBS menerusi Menterinya, Hannah Yeoh tampil menyediakan geran untuk menukar padang dan menaik taraf sistem saliran stadium-stadium utama yang menjadi venue Liga M.
Untuk rekod, kebanyakan stadium adalah milik kerajaan negeri dan KBS mengumumkan setakat ini 10 negeri termasuk Negeri Sembilan, Kelantan, Pahang, Terengganu, Perlis, Kedah, Selangor, Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Melaka menerima peruntukan bagi pelaksanaan projek itu yang menelan kos keseluruhan RM4.6 juta.
Lapan daripada 10 negeri terbabit menerima dana RM500,000 bagi projek menaik taraf sistem perparitan dan menukar rumput cowgrass kepada jenis Zeon Zoysia atau Bermuda.
Perlis dan Kedah bagaimanapun hanya mengambil peruntukan RM300,000 untuk naik taraf sistem saliran sahaja dan tidak menukar rumput di Stadium Darul Aman dan Stadium Tuanku Syed Putra.
© New Straits Times Press (M) Bhd




