Young Tigers akhiri SOJC tempat tercorot

Young Tigers akhiri SOJC tempat tercorot

rizar@mediaprima.com.my

Johor Bahru: Skuad hoki remaja negara menduduki tangga tercorot selepas tumpas 0-3 kepada Jepun menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam aksi 60 minit Kejohanan Hoki Bawah 21 (B-21) Piala Sultan Johor (SOJC) edisi ke-12 di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, hari ini.

Ternyata kedudukan di tempat keenam itu mengundang rasa tidak puas hati buat ketua jurulatih, I Vikneswaran yang menegaskan Young Tigers sepatutnya menang ke atas skuad kendalian Yoshihiro Anai selepas menguasai sepanjang perlawanan itu.

“Kita dapat banyak pukulan sudut penalti dan memiiki peluang menjaringkan gol tapi kita kerap buat kesilapan dan ia merugikan terutama pada dua minit terakhir yang membolehkan Jepun menjaringkan gol.

“Kita kena nilai semula secara serius dan segera perbaiki apa jua kelemahan kerana dalam permainan hoki kita boleh main baik dan mendahului pasukan lawan tapi perlu konsisten dan permainan adalah 60 minit, bukan 50 minit atau 59 minit dan harus bersedia sehingga tamat permainan,” katanya.

Pada perlawanan itu, kedua-dua pasukan tampak bermain secara berhati-hati walaupun memiliki peluang mencipta jaringan namun gagal melakukan penyudah tepat sehingga berakhir babak pertama tatakala masing-masing berpuas hati dengan keputusan terikat tanpa jaringan.

Bersambung babak kedua pada suku ketiga, akhirnya Young Tigers berjaya memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-16 selepas bola tolakan Harris Iskandar Osman ditampan Nur Aqirullah Mohd Khairul Anwar yang menghasilkan gol padang menewaskan Kuroda.

Namun jaringan itu tidak bertahan lama selepas skuad kendalian Yoshihiro Anai menyamakan jaringan pada minit ke-48 berpunca daripada bola umpananTsubasa Tanaka mudah disudahkan Yuto Higuchi menewaskan penjaga gol, Mohamad Rafaizul Mohamad Sani.

Young Tigers tidak berputus asa sebaliknya berjaya mendahului 2-1 apabila Harris Iskandar menyudahkan pukulan sudut penalti kali kelapan yang diraih pada minit ke-50 menewaskan Kuroda yang beraksi cemerlang pada perlawanan itu.

Jepun bangkit menyamakan jaringan selepas pengadil dari Sri Lanka, Mohomead Nawshad menghadiahkan penalti untuk Jepun pada minit ke-58 dan Jun Watanabe berjaya menjaringkan gol untik mengikat kedudukan 2-2 yang menyaksikan pemenang akan ditentukan menerusi penentuan penalti.

Mengulas persiapan Piala Remaja Asia 2024 di Muscat, Oman bermula 26 November hingga 4 Disember, Vikneswaran berkata penekanan akan ditumpukan kepada menguruskan tekanan selain sikap mengurus diri pemain sendiri apabila beraksi di padang.

Malah katanya, kelemahan melakukan penyudah menerusi pukulan sudut penalti akan diberi perhatian sebelum menyertai Piala Remaja Asia dan ia amat penting memandangkan pemain tampak masih kekok untuk menyempurnakan peluang yang terhidang.

“Sudah tentu kita ada tiga minggu sebelum ke Muscat, Omaan, pukulan sudut penalti harus diperkemaskan dan anda sendiri melihat ketika lawan Australia jumlah pukulan sudut penalti begitu banyak dan ia sama berlaku pada aksi menentang Jepun,” kata Vikneswaran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top