KPDN sita 935 kilogram minyak masak bersubsidi disorok dalam kedai runcit

KPDN sita 935 kilogram minyak masak bersubsidi disorok dalam kedai runcit

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sebanyak 935 kilogram (kg) masak bersubsidi dianggar bernilai lebih RM 2,500 yang disyaki disorok, dirampas dalam serbuan ke atas sebuah kedai runcit di Bandar Sri Permaisuri, Cheras di sini, semalam.

Serbuan dijalankan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KPDN WPKL) bersama KPDN Melaka susulan aduan pengguna yang diterima melalui sistem e-aduan KPDN.

KPDN WPKL dalam kenyataan hari ini, memaklumkan sepasukan anggota penguat kuasa menjalankan siasatan dengan membuat uji beli (test purchase) secara samaran menerusi Ops Samar sebelum serbuan dijalankan.

“Semasa uji beli dilakukan, jurujual memaklumkan minyak masak paket sudah habis terjual.

“Berikutan rasa curiga dan rasa tidak puas hati dengan alasan yang diberikan, anggota pegawai penguat kuasa KPDN WPKL beruniform bertindak memasuki premis dan berjumpa dengan penyelia di situ.

“Pemeriksaan secara menyeluruh di premis perniagaan tersebut menemukan puluhan kotak minyak masak peket di dalam stor penyimpanan,” katanya.

Berikutan itu, katanya pasukan serbuan menyita minyak masak satu kilogram bersubsidi dalam peket sebanyak 935 kg dengan nilai rampasan dianggarkan RM2,524.50.

Katanya, tindakan diambil mengikut Seksyen 16 (1) (b)Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Operasi bersepadu ini juga adalah inisiatif baharu kerajaan iaitu Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (GEMPUR) melalui KPDN seperti diumum Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali pada 19 Oktober lalu.

“Inisiatif ini satu langkah strategik kerajaan membina gerakan massa bagi menangani isu manipulasi dalam aktiviti perniagaan dan ketirisan yang melibatkan barang kawalan dan barang kawalan bersubsidi,” katanya.

Dalam pada itu, KPDN juga menggesa masyarakat untuk bersama-sama menyokong inisiatif Kita GEMPUR dan menjadi sebahagian daripada gerakan itu agar aktiviti yang merugikan rakyat dan negara dapat dibanteras.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top