Pesona Bandung

Pesona Bandung

rencana@hmetro.com.my

BUKAN mahu memuji, namun lokasi pelancongan kota Bandung yang terletak di Jawa Barat, Indonesia sememangnya memiliki keistimewaan dan aura tersendiri ketika pengembaraan empat hari tiga malam penulis bersama rakan, Aliaa Dalila, baru-baru ini.

Hari pertama menjejak kaki di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, penulis ambil kesempatan menikmati juadah makan tengah hari selera Minang di Restoran Pagi Sore.

Tidak lengkap rasanya berkunjung ke Jakarta jika tidak singgah di restoran ini, destinasi wajib bagi setiap pelancong. Malah, Pagi Sore juga terkenal dalam kalangan penduduk tempatan dan sentiasa disebut-sebut disebabkan kelazatan lauk-pauk masakan Padang yang disediakan.

Usai makan tengah hari, penulis mengejar waktu perjalanan ke kota Bandung dengan menaiki Kereta Cepat Jakarta-Bandung atau ‘WHOOSH.’ Buat yang tertanya-tanya, WHOOSH adalah kereta api berkelajuan tinggi pertama di Asia Tenggara yang menghubungkan Jakarta dan Bandung.

Perjalanan ke kota Bandung yang biasanya memakan masa empat jam hanya mengambil masa 45 minit dengan menaiki kereta api ini. Penulis sempat merakam detik yang mengujakan apabila kelajuan tertinggi kereta api itu mencapai 345 kilometer sejam tanpa henti dan sangat lancar sehingga tiba di destansi dituju.

Selesai urusan daftar masuk di hotel pilihan dan berehat, menjelang malam, penulis menyusuri keramaian Jalan Braga iaitu lokasi bersejarah yang wujud sejak zaman kolonial Belanda dan kini menjadi lokasi hiburan malam minggu bagi muda-mudi Bandung.

Bangunan peninggalan penjajahan dan semangat perjuangan kemerdekaan Indonesia dijadikan seni estetika dan konsep kafe moden dipenuhi anak muda. Lokasi ini adalah gambaran hidup asal usul Bandung tanpa melupakan akar sejarahnya.

Penulis berpandangan pengalaman di Jalan Braga ibarat adegan dalam filem Indonesia dengan kedinginan malam sambil menikmati kopi daripada pelbagai pilihan ‘warkop’ (warung kopi)

sambil melayan alunan lagu berjiwa ‘galau’ nyanyian pemuzik jalanan. Bagaikan kagum dengan pelbagai juadah di sekitar, penulis rambang mata mencuba pelbagai jenis makanan di kawasan itu seperti bakso, aneka pastri dan masakan tradisional suku Sunda.

Mahu lihat matahari terbit?

Untuk ke destinasi seterusnya, penulis dan rakan sekelas di tahun satu di Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1, Kuala Terengganu, Aliaa Dalila bersama dua lagi rakan bersetuju dengan ajakan ‘supir’ merangkap pemandu persendirian untuk bangun seawal jam 3 pagi ke Ciwidey, Selatan kota Bandung.

Ia bagi menyaksikan keindahan pemandangan matahari terbit dari Sunan Ibu Sunrise Point di Kawah Putih, Bandung. Penulis dan rakan bersama beberapa pengunjung lain teruja serta syukur selain merakamkan detik secara langsung matahari naik menembusi kaki langit dan pergunungan sekitarnya. Malah, ketika menuruni ‘sunrise point’, penulis berhenti sebentar untuk mengambil ‘group photo’ dan ‘selfie’ berlatarkan landskap ladang teh yang segar dan menghijau.

Tidak cukup dengan panorama matahari terbit dan bentangan ladang teh pada pagi itu, penulis seterusnya terpukau dengan pemandangan danau Kawah Putih iaitu satu daripada dua kawah yang terbentuk akibat letusan Gunung Patuha.

Disebabkan Kawah Putih adalah tasik yang mempunyai tahap keasidan yang tinggi, warna tasik itu berubah-ubah daripada kebiruan kepada hijau keputihan, atau coklat, bergantung kepada kepekatan sulfur dan suhu atau keadaan pengoksidaan. Mendengar pengalaman penduduk sekitar sendiri, tasik itu dikatakan pernah kering disebabkan suhu yang meningkat. Nikmatnya, ketika penulis berada di situ, suhu serendah 9 darjah Celsius maka dapatlah menyaksikan danau berwarna putih kebiruan yang sangat cantik bukan sahaja di mata manusia, malah turut dirakam di lensa kamera.

Perjalanan diteruskan ke destinasi yang tidak jauh dari Kawah Putih iaitu Kawah Rengganis. Tarikan di Kawah Rengganis sedikit berbeza berbanding di Kawah Putih. Jika di Kawah Putih pengunjung tidak dibenarkan bermandi-manda bahkan disarankan untuk tidak terlalu lama berada berhampiran tasik, terutama bagi mereka yang memiliki masalah pernafasan, di Kawah Rengganis, pengunjung berpeluang untuk membasahkan kaki di kolam air panas.

Jika pengunjung tidak mahu berendam, pengunjung boleh sahaja melakukan aktiviti lain yang ditawarkan di kawasan itu. Di situ, pengunjung dapat menikmati pemandangan Kawah Rengganis dari atas, setinggi 70 meter (m) dengan menaiki buaian yang diberi nama Keranjang Sultan. Tidak ketinggalan, penulis juga menguji keberanian dengan melintasi jambatan gantung terpanjang di Indonesia, iaitu sepanjang 370m dengan ketinggian 75m. Sekiranya gayat, mungkin pemandangan rimba menghijau yang mengelilingi jambatan itu dapat mengalihkan perhatian sehingga ke hujung perjalanan.

Pengembaraan pada hari ketiga diteruskan di Lembang dengan mengunjungi Orchid Forest Cikole iaitu destinasi tarikan pelancong yang dikelilingi hutan pain yang menjulang tinggi. Penulis tidak melepaskan peluang mengambil gambar di setiap sudut dan pemandangan yang menenangkan dan ‘instagrammable.’

Sepadan dengan nama Orchid Forest, terdapat juga rumah agam kebun orkid yang menemukan pelbagai spesies orkid dan tanaman bunga yang lain. Pengunjung boleh berhenti sebentar untuk membasahkan tekak di kafe estetik Golden Pine yang menyediakan aneka pastri dan masakan Barat seperti burger, sosej serta kentang goreng.

Penulis dapat menjiwai ketenangan sambil menghirup teh di dalam kedinginan hutan pain itu. Malah, pengunjung juga dapat menyertai aktiviti ‘flying fox,’ ‘petting zoo,’ dan pelbagai lagi kemudahan dalam kawasan hutan pain ini.

Selepas setengah hari berjalan santai di Orchid Forest, supir membawa penulis dan rakan ke Floating Market Lembang. Penulis disambut dengan pemandangan tasik yang mendamaikan dengan perahu terapung yang menjual ‘street food’ lokal dan selera Sunda.

Selain pasar terapung, destinasi itu turut menawarkan aktiviti lain yang menarik. Penulis dan rakan penulis teruja menuruni ‘rainbow slide’, gelongsor panjang berwarna ceria.

Berat hati untuk penulis mengakhiri pengembaraan di Bandung pada hari terakhir dan berangkat pergi bagi meneruskan percutian di Jakarta. Untuk menikmati pengalaman yang sedikit berbeza, penulis bersama rakan menaiki ‘Panoramic train’, operasi kereta api yang dikendali oleh syarikat KAI (Kereta Api Indonesia). Pengalaman menaikinya berlainan sekali jika dibandingkan dengan kereta api berkelajuan tinggi WHOOSH. Perjalanan ke Jakarta menaiki tren ini mengambil masa tiga hingga empat jam berbanding WHOOSH yang hanya memakan masa kira-kira 45 minit.

Nikmatnya, reka bentuk kaca besar pada tren memudahkan penumpang meninjau langit biru, jambatan tinggi, terowong panjang, pemandangan alam semula jadi seperti gunung dan sawah padi. Sesuai dengan namanya, penumpang dapat melayan perasaan sambil menyaksikan panorama indah di sepanjang perjalanan menaiki kereta api ini.

Biarpun ada dua hari di Jakarta yang terkenal dengan ‘macet’ yang bermaksud ‘sesak’ dengan kenderaan di jalan raya, namun, diakui kenangan di Bandung lebih meninggalkan kesan mendalam di hati penulis dan rakan.

Mungkin juga kerana keramahan penduduknya, pemandangan indah bersama cuaca yang menenangkan, faktor syurga makanan atau kerana berada di situ bersama sahabat tersayang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top