Naples: Giovanni Di Lorenzo memastikan Napoli kekal di puncak Serie A hujung minggu ini selepas menjaringkan gol kemenangan ketika menumpaskan Lecce 1-0 menjadikan pasukannya lima mata di depan.
Kapten Napoli itu menjaringkan satu-satunya gol dalam perlawanan di Naples selepas menyambar bola yang diselamatkan penjaga gol Lecce, Wladimiro Falcone apabila Scott McTominay menanduk bola dari sepakan sudut.
Gol ketiga Di Lorenzo untuk musim ini datang selepas jaringannya dinafikan pada separuh masa pertama apabila penyudah jarak dekatnya dibatalkan kerana ofsaid.
Napoli kini selesa mendahului di depan Inter Milan di tempat kedua, yang akan menerima kunjungan Juventus awal pagi esok dalam perlawanan terbesar setakat ini dalam usaha mempertahankan gelaran liga mereka.
“Ini adalah perlawanan yang sangat penting untuk kami, kami mencuba dalam pelbagai cara untuk menjaringkan gol dan akhirnya kami berjaya melakukannya,” kata Di Lorenzo kepada DAZN.
Pasukan Antonio Conte tidak banyak mencipta peluang lain menentang Lecce yang bersemangat, yang kekal di tempat kedua dari bawah dengan lima mata selepas kekalahan keempat berturut-turut, sementara Khvicha Kvaratskhelia dan Matteo Politano memulakan perlawanan dari bangku simpanan.
Romelu Lukaku terlepas peluang terbaik Napoli dalam perlawanan itu apabila dia mensia-siakan peluang dari dalam kotak penalti sembilan minit selepas separuh masa kedua, dan tuan rumah berada dalam keadaan panik pada minit-minit akhir ketika Lecce berusaha untuk menyamakan kedudukan.
Lecce memasuki perlawanan ini selepas kekalahan teruk 0-6 di laman sendiri kepada Fiorentina minggu lalu, yang membuatkan jawatan jurulatih Luca Gotti dalam risiko, tetapi mereka bertarung seimbang dengan Napoli dan pada hari lain mungkin mudah membawa pulang satu mata.
© New Straits Times Press (M) Bhd



