Manchester: Pep Guardiola mengaku bahawa beliau boleh belajar dari pengurus Southampton, Russell Martin, selepas pasukan yang berada di kedudukan terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL) itu membuat Manchester City berpeluh sebelum meraih kemenangan 1-0 semalam.
Walaupun gagal memenangi satu perlawanan liga pun musim ini, Southampton berjaya mengecewakan City untuk tempoh yang lama di Stadium Etihad.
Gol pembukaan Erling Haaland pada minit kelima sepatutnya menjadi isyarat untuk satu kemenangan besar City, tetapi Southampton tetap setia kepada prinsip Martin dan memberi kesukaran kepada penyandang juara itu.
Percubaan Cameron Archer mengenai tiang gol menjelang waktu rehat dan City mensia-siakan beberapa peluang untuk menambah jaringan.
Terkesan dengan taktik Martin, Guardiola berkata: “Hari ini bukan mengenai bagaimana Southampton bertahan dengan baik, tetapi betapa baiknya mereka bermain dengan bola, termasuk penjaga gol dan pergerakan mereka.
“Ini adalah perlawanan yang baik untuk belajar sebagai pengurus. Saya akan belajar banyak dengan Russell kerana mereka bermain dengan sangat baik. Kami rendah hati dan menerima bahawa mereka melakukannya dengan sangat baik.”
City yang tidak kalah kini berada di puncak liga, tetapi akan kehilangan tempat pertama kepada Liverpool jika pasukan Arne Slot menang menentang Arsenal pagi esok.
Guardiola akan memantau keputusan itu sambil mencerna pengajaran dari perlawanan yang sengit dengan Southampton.
© New Straits Times Press (M) Bhd




