am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Semuanya berubah sekelip mata apabila suami yang selama ini menjadi tulang belakang keluarga menjadi seakan lumpuh secara tiba-tiba.
Sejak tiga tahun lalu, kehidupan Mohd Asmadi Md Salleh, 53, terus bertukar apabila dia yang selama ini menyara keluarga sebagai mekanik, kini terlantar di tilam dan tidak mampu bersuara.
Menurut isterinya, Wan Ruslina Wan Abd Rahim, 52, suaminya menjadi tidak berupaya secara tiba-tiba pada tiga tahun lalu namun masih mampu bercakap walau tidak jelas namun dua minggu lalu keadaannya semakin teruk.
“Kejadian pertama berlaku tiga tahun lalu dan suami mendapatkan rawatan di hospital namun tidak dapat disahkan penyakitnya kerana kedua tangan dan kakinya boleh digerakkan cuma tidak mampu berjalan.
“Pada dua minggu lalu, keadaannya semakin teruk apabila langsung tidak mampu bercakap malah mulutnya terasa sakit sedangkan tiada apa-apa kecederaan dikesan.
“Keadaan itu menyebabkan suami tidak dapat makan dan hanya bertahan dengan minum air saja,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tukang Dollah, Pengkalan Chepa, di sini.
Wan Ruslina berkata, kehidupan keluarganya kini semakin mendesak apabila wang simpanan semakin berkurangan kerana digunakan untuk kelangsungan hidup selain membeli lampin pakai buang untuk suaminya.
Menurutnya, jika ada lebihan wang, dia akan mengupah tukang urut atau merujuk kepada pakar perubatan alternatif semata-mata untuk melihat suaminya kembali pulih.
“Buat masa sekarang, kami terpaksa catu perbelanjaan dan ada ketika empat anak yang sudah berumahtangga dan menetap berasingan turut menghulurkan bantuan namun tidaklah banyak kerana mereka juga bukan orang senang.
“Anak kelima baru saja sebulan menjadi askar wataniah dan elaunnya juga tidak seberapa dan ada ketika membuat kerja sambilan di pasar raya untuk meringankan beban kami.
“Tiga anak masih bersekolah dan memerlukan perbelanjaan secukupnya namun dengan keadaan sebegini, kami hanya mampu berjimat cermat dan berbelanja sekadar termampu,” katanya.
Terdahulu mereka menerima kunjungan badan bukan kerajaan (NGO) Chempaka Merah Asnaf Society yang diwakili pengerusinya, Che Norhayati Mohamed yang hadir menyumbangkan makanan harian serta wang zakat.
Bagi yang ingin membantu boleh menghubungi Wan Ruslina di talian 0176833747 atau memberi sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional miliknya iaitu 0301041000470694.
© New Straits Times Press (M) Bhd




