Kes letak kepala babi di kedai makan, dua suspek ditahan

Kes letak kepala babi di kedai makan, dua suspek ditahan

hafidzul@hmetro.com.my

Kajang: Dua lelaki yang melakukan tindakan biadap meletakkan kepala babi di sebuah kedai makan di Bandar Teknologi di sini 15 Oktober lalu ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kelibat dua suspek terbabit sebelum itu berjaya dirakam menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

Beliau berkata, siasatan mendapati dalam kejadian pada 11 Oktober itu dua suspek berkenaan didapati meletakkan kepala babi di gerai milik mangsa.

“Dua individu memakai baju berwarna hitam dan memakai helmet hitam serta merah masuk ke dalam kedai berkenaan.

“Kedua-dua suspek itu kemudian bertindak meletakkan kepala babi atas kabinet dapur roti canai milik mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, susulan itu, mangsa berusia 18 tahun itu tampil membuat laporan polis berhubung kejadian.

“Siasatan membawa kepada tangkapan dua suspek lelaki warga tempatan berusia 35 dan 51 tahun pada 15 Oktober lalu.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan dan mendapatkan bukti berkaitan kes ini,” katanya.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298/427 Kanun Keseksaan.

“Maklumat berkaitan kes ini boleh disalurkan di Balai Polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Ahmad Faizal Hasan di talian 019-7691924 bagi membantu siasatan.

Terdahulu, tular di media sosial memaparkan dua individu meletakkan kepala babi atas dapur sebuah gerai roti canai di sini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top