Isu 'call' korum waktu Maghrib cetus kekecohan di Dewan Rakyat

Isu 'call' korum waktu Maghrib cetus kekecohan di Dewan Rakyat

mahaizura@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Isu berkaitan memanggil korum mencetuskan kekecohan di Dewan Rakyat hari ini apabila Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memohon Ahli Parlimen tidak memanggil korum pada waktu Maghrib.

Perkara itu dibangkitkan Johari sebelum sesi perbahasan dimulakan tengah hari ini dengan merujuk permohonan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary untuk memanggil korum pada jam 7.30 malam, 21 Oktober lalu.

“Saya tahu ini ialah hak ahli yang berhormat untuk ‘call’ korum tetapi saya mohon oleh kerana waktu itu Maghrib, waktu itu sangat sempit (tempoh pendek).

“Kalaulah boleh… saya tak kata tak boleh, kalau boleh janganlah call korum waktu Maghrib sebab kawan-kawan tengah sembahyang sana, bila bunyi loceng dia rasa terganggu betul, dia terpaksa tinggalkan sembahyang atau masuk (Dewan Rakyat).

“Saya mohon, saya tak perlukan jawapan, saya mohon sangat-sangat janganlah call korum waktu Maghrib sebab waktu itu amat sempit, saya mohon itu saja. Terima kasih Pengkalan Chepa,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Sebaik mendengar rayuan itu, Ahmad Marzuk masih membela diri dengan cuba menjelaskan situasi sebenar yang berlaku pada Isnin lalu.

“Saya menghormati nasihat Tan Sri (Johari) dan saya bersama dengan naratif itu, tetapi apa yang berlaku pada hari itu di surau itu hanya ada seorang Ahli Parlimen.

“Jadi kalau dikatakan ramai di surau kerana menunaikan Maghrib waktu itu 7.40 malam, lama dah Maghrib…dah nak masuk Isyak dah,” katanya.

Bagaimanapun, penjelasan itu turut dicelah Tan Kar Hing (PH-Gopeng) dan RSN Rayer (PH-Jelutong) sehingga Dewan Rakyat gamat.

Tan: Ada dekat biliklah bukan semua (Ahli Parlimen solat) dekat surau.

Johari: Saya tak perlukan apa-apa jawapan saya cuma minta jangan call waktu Maghrib.

Rayer: Ada yang pergi masjid Tan Sri Speaker.

Johari: Sebab sembahyang tak semestinya berlaku di surau ada di bilik.

Ahmad Marzuk: Jelutong tak tahu, dia tak pergi sembahyang.

Kekecohan itu berakhir selepas Johari dengan tegas mengatakan, dia tidak benarkan lagi Ahli Parlimen memanggil korum pada waktu Maghrib.

“Saya minta cukup! cukup!

“Saya tak benarkan lagi, saya tak benarkan lagi, cukup!” katanya.

Pada 21 Oktober lalu, sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat, terpaksa ditangguhkan keesokkannya selepas kehadiran Ahli Parlimen tidak cukup korum apabila hanya ada 19 orang saja.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Shahar Abdullah mengarahkan loceng dibunyikan kira-kira dua minit apabila hanya ada 17 Ahli Parlimen berbanding sepatutnya 26 orang bagi membolehkan sesuatu sesi Parlimen bersidang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top