Bakal Jayakan Konsert Sumandak Stars… Salma Asis Hanya Jalankan Tugas, Enggan Masuk Campur Isu Hangat

Bakal Jayakan Konsert Sumandak Stars… Salma Asis Hanya Jalankan Tugas, Enggan Masuk Campur Isu Hangat

Penyanyi Salma Asis mengambil pendekatan untuk tidak masuk campur isu hangat yang membabitkan konsert A Night With Sumandak Stars.

Diumumkan sebagai salah seorang bintang bakal membuat persembahan di konsert yang akan berlangsung pada 30 November ini, Salma mendedahkan dia mendapat tawaran selepas penyanyi Stacy mengundurkan diri.

“Saya diberi tawaran untuk membuat persembahan di konsert Sumandak Stars selepas Stacy menarik diri. Namun begitu, saya tidak ambil tahu sangat mengenai isu yang terjadi.

“Saya hanya menjalankan amanah yang diberikan untuk menghiburkan penonton di konsert terbabit. Saya tidak masuk campur, kerana bagi saya kalau ada rezeki yang datang saya ambil.

“Saya akan lunaskan tanggungjawab saya sebagai penyanyi untuk melakukan persembahan. Soal kontroversi membabitkan konsert itu saya tidak ambil peduli. Saya profesional, saya dibayar untuk bekerja. Saya lakukan tugas saya sebaiknya,” kata Salma.

Sebelum ini, Stacy mengumumkan menarik diri daripada terlibat dengan konsert terbabit atas alasan pihak penganjur tidak dapat memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Selain itu, rekaan poster yang memaparkan wajah Bella Astillah berada di bahagian tengah juga didakwa antara punca isteri kepada penyanyi Akim Ahmad itu mengundur diri.

Konsert A Night With Sumandak Stars yang akan berlangsung pada 30 November ini di Zepp Kuala Lumpur menampilkan barisan penyanyi kelahiran Sabah iaitu Marsha Milan, Adira Suhaimi, Nikki Palikat, Wany Kayrie, Bella Astillah, Didi Astillah, Azharina, Ayu Damit dan Salma Asis.

Teruja menjayakan konsert terbabit, Salma mahu memberikan persembahan yang baik dan menanti saat untuk bersatu dengan bintang wanita kelahiran Sabah atas satu pentas.

“Sejujurnya, saya tak sabar. Saya sangat teruja untuk menjayakan konsert ini kerana semua penyanyi berasal dari Sabah. Saya akan memberikan persembahan terbaik di malam konsert kelak,” katanya.

Salma ditemui XTRA usai persembahan minggu kedua Famili Duo 4 di Studio Glenmarie, Shah Alam, malam tadi.

Dalam persaingan minggu kedua bertemakan tradisional, Salma dan pasangan sepupu, Ayie Elham (Floor 88) berjaya meraih kedudukan pertama.

Famili Duo 4 dikemudikan oleh gandingan selebriti serba boleh iaitu Janna Nick dan Sharif Zero sebagai hos program manakala kerusi juri pula diduduki oleh figura hebat, Mas Idayu dan Datuk Rosyam Nor.

Enam pasangan yang bersaing dalam Famili Duo 4 adalah Shiha Zikir & Ieda Zikir (adik-beradik), Zahid & Anne (adik-beradik), Ayie Elham Floor 88 & Salma Asis (sepupu), Tomok & Sharul Kamal (sepupu), Didi Astillah & Thamiera Chan (sepupu) dan Naqiu & Joey Daud (sepupu).

Mereka bersaing selama lapan minggu bagi merebut gelaran juara yang menawarkan hadiah wang tunai RM100,000.

Pemenang mingguan akan ditentukan oleh juri dengan pemarkahan sebanyak 70 peratus dan undian atas talian melalui Tonton (30 peratus). Pemenang mingguan membawa pulang gelaran Duo Terbaik bersama wang tunai bernilai RM10,000.

Jangan lupa saksikan Famili Duo 4 yang bersiaran selama lapan episod bermula 20 Oktober 2024, setiap hari Ahad, pukul 9.00 malam di TV3 dan boleh distrim langsung secara HD melalui Tonton di www.tonton.com.my atau di aplikasi Tonton yang boleh dimuat turun dari Google Play atau App Store.

Scroll to Top