mahaizura@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Malaysia perlu membuat persediaan dengan mewujudkan stok simpanan (stockpile) barangan makanan asas tertentu bagi menghadapi keadaan geopolitik dunia yang tidak menentu.
Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menekankan keperluan stok simpanan makanan dan kepentingan teknologi penyimpanannya.
Katanya, antara makanan asas yang perlu perlu stok simpanan adalah beras, ikan, ayam daging, tepung, minyak masak, gula serta beberapa keperluan lain.
“Saya berpandangan, kerajaan perlu bersedia untuk hadapi krisis makanan sekiranya berlaku ketidakstabilan geopolitik dunia.
“Ini kerana barang-barang makanan asas hanya diperdagangkan mengikut keperluan tanpa ada usaha stok simpanan yang strategi.
“Buat masa ini hanya beras saja diberikan peruntukan undang-undang supaya disediakan stok simpanan bekalan, malah sepanjang pengamatan saya, belum ada agensi dipertanggungjawabkan untuk menyediakan stok simpanan jangka panjang untuk ayam dan daging,” katanya Ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, penyimpanan stok simpanan ini juga amat penting berikutan membantu menstabilkan harga dan mengekang manipulasi kartel seperti dalam industri penternakan ayam.
“Sebagai contoh dalam industri ayam, makanan ayam menyumbang 72.8 peratus daripada keseluruhan kos, pihak kartel berpakat menaikkan harga makanan ayam oleh itu penternak tiada pilihan terpaksa meningkatkan kos atau tutup reban, yang merana rakyat sebagai pengguna.
“Kerajaan mesti berupaya serta bersedia memecahkan ‘supply chain’ (rangkaian bekalan) ayam yang dikawal kartel dengan mewujudkan ‘supply chain’ alternatif hasil daripada pemberhentian subsidi ayam apabila Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dapat jimatkan RM100 juta sebulan atau RM1.2 bilion setahun.
“Justeru, saya cadangkan kepada KPKM, peruntukan penjimatan tiga bulan subsidi ayam bersamaan RM300 juta sebagai satu dana ‘one-off’ untuk mewujudkan satu ‘supply chain’ baharu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




