Kenyataan Berunsur Fitnah, Chef Wan Kekal Bayar Ganti Rugi Cecah RM150,000 Kepada Bekas Menantu

Kenyataan Berunsur Fitnah, Chef Wan Kekal Bayar Ganti Rugi Cecah RM150,000 Kepada Bekas Menantu

Chef selebriti terkenal, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan kekal diperintah untuk membayar ganti rugi berjumlah RM150,000 kepada bekas menantu, Gavin Edward O’Luanaigh berhubung penerbitan berunsur fitnah terhadap lelaki itu di platform media sosial.

Memetik laporan Kosmo, panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli memerintahkan Chef Wan membayar kos RM5,000 selepas permohonan kebenaran rayuan di Mahkamah Persekutuan dibatalkan.

Chef Wan yang diwakili peguam Nur Adilah Nabilah memfailkan permohonan kebenaran merayu terhadap Mahkamah Rayuan yang memerintahnya membayar ganti rugi RM150,000 kepada bekas menantu.

Pada 26 Jun lalu, panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Azizah Nawawi yang bersidang bersama-sama Datuk Lim Chong Fong dan Datuk Wong Kian Kheong membenarkan rayuan Gavin untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menyatakan kenyataan Chef Wan tidak memfitnahnya.

Ketiga-tiga panel itu turut memerintahkan Chef Wan membayar RM150,000 sebagai ganti rugi am, teruk dan teladan kepada bekas menantunya dan kos RM40,000 untuk prosiding di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Mahkamah turut memerintahkan injunksi kekal terhadap selebriti ini yang melarang Chef Wan daripada memuat naik sebarang kenyataan yang memfitnah bekas menantunya.

Bukan itu sahaja, Chef Wan turut diperintah untuk membayar faedah lima peratus setahun atas jumlah penghakiman bermula dari tarikh saman difailkan sehingga tarikh penyelesaian penuh.

Pada Februari 2021, Gavin memfailkan saman terhadap Chef Wan mendakwa selebriti ini memuat naik hantaran berbaur fitnah.

Gavin berkahwin dengan anak Chef Wan, pelakon Derina Redzuawan pada 2010 namun berpisah pada Ogos 2017.

Sumber: KOSMO! ONLINE

Scroll to Top