Menghiasi slot Akasia bagi musim terbaharu, drama rantaian Luruhnya Bunga Cinta lakonan hebat Redza Roshdi dan Tracie Sinidol sudah mula ditayangkan bermula 25 Oktober lalu.
Mengisahkan tentang perjalanan cinta yang penuh liku antara Nuh (Redza Rosli) dan Nuha (Tracie Sinidol) yang terus dihimpit cabaran, hubungan mereka kembali tergugat apabila Awal (Aniq Durar) muncul secara tiba-tiba dan menghalang langkah mereka.
Dalam masa sama, Aleen (Bella Luna) bergelut untuk menerima kenyataan pahit bahawa cinta Nuh terhadapnya telah pudar sehingga menyebabkan dia terjerumus dalam tekanan emosi sekaligus kehilangan arah.
Sementara itu, kehidupan Nuha berubah secara drastik apabila dia didiagnos menghidap kanser berdarah tahap ketiga.
Bagaimanapun dalam usaha untuk menyembunyikan penderitaannya daripada Nuh, Nuha mengambil keputusan untuk menjauhkan diri dan menyatakan bahawa perasaannya terhadap Nuh telah hilang.
Nuha memilih untuk memutuskan hubungan cinta mereka sekaligus mengorbankan kebahagiaan demi memastikan Nuh tidak dihantui kesedihan.
Drama yang diadaptasi menerusi drama Korea Selatan popular, Autumn In My Heart ini sememangnya masih menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan netizen.
Mana tidaknya, Tracie berkata, episod baharu kali ini permainan emosional lebih mendalam selain berharap para penonton akan sama-sama merasai setiap detik perjuangan cinta antara Nuh dan Nuha.
“Saya tak sabar dan sangat teruja akhirnya Luruhnya Bunga Cinta 2 bakal bersiaran!
“Saya berharap musim terbaharu ini akan diterima dengan penuh semangat oleh peminat, sama seperti musim sebelumnya.
“Setiap watak pada musim ini lebih mendalam sisi emosionalnya, dan saya berharap para penonton akan sama-sama merasai setiap detik perjuangan cinta mereka. Dan setiap detik yang saya habiskan dalam penggambaran ini adalah satu pengalaman berharga, dan saya tidak sabar untuk melihat reaksi penonton,” katanya.

Selain Tracie, drama ini juga turut dibintangi oleh Redza Rosli, Nabila Razali, Bella Luna, Auni Yusri, Aniq Durar dan ramai lagi.
Drama 20 episod ini juga menjadi antara target dan bakal mencetuskan fenomena serta mengulangi kejayaan luar biasa pada musim lalu.
Bagaimana kesudahan cinta Nuh dan Nuha? Berjayakah Nuh mengahwini Nuha dan mengecapi kebahagiaan, atau mungkinkah ajal Nuha tiba terlebih dahulu sebelum impian membina mahligai perkahwinan mereka tercapai?
Saksikan kisah yang penuh dengan emosi dan pengorbanan ini dalam drama Luruhnya Bunga Cinta 2 menerusi slot Akasia bermula 25 Oktober 2024, setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di TV3 dan strim episod baharu 24 jam lebih awal melalui Tonton melalui www.tonton.com.my. Anda juga boleh muat turun aplikasi Tonton melalui Google Play atau App Store.
Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat.



