rnoraina@hmetro.com.my
Subang: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket pengedaran dadah susulan penahanan dua lelaki yang berperanan sebagai ‘runner’ bersama dadah jenis syabu bernilai lebih RM11 juta.
Difahamkan, kedua-dua suspek berusia 30 dan 34 tahun itu menerima gaji bulanan antara RM5,000 sehingga RM8,000 daripada sindiket bagi mengambil bekalan daripada pembekal sebelum dihantar ke sebuah rumah yang dijadikan stor penyimpanan.
Bagaimanapun, kegiatan sindiket terbabit ditumpaskan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman yang menyerbu dua lokasi berasingan, Jumaat lalu.
Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, pada serbuan pertama, pihaknya menahan seorang lelaki yang memandu Proton Saga di sekitar Bandar Baru Sri Petaling, dekat sini, jam 10.50 malam.
“Pada serbuan kedua pula, kami menahan seorang lagi suspek yang memandu Hyundai Sonata di sekitar Puchong Jaya, terletak kira-kira satu kilometer dari lokasi serbuan pertama.
“Kedua-dua suspek berperanan sebagai runner dan siasatan mendapati, ketika serbuan, mereka sedang menunggu pembekal menghantar bekalan dadah untuk dihantar ke stor,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Khaw berkata, hasil penahanan suspek membawa kepada serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat di Bandar Bukit Puchong, pada hari sama.
Beliau berkata, pemeriksaan di sebuah daripada bilik di rumah itu menemukan 319 bungkusan plastik mengandungi syabu seberat 329.5 kilogram (kg) dan dua alat penimbang.
Katanya, pihaknya turut menyita dua kenderaan serta barangan kemas bernilai RM70,270 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.
Tambahnya, syabu terbabit boleh digunakan oleh lebih 1.65 juta penagih sekiranya terlepas ke pasaran.
“Siasatan mendapati, rumah teres diserbu itu disewa sindiket pada kadar RM1,800 sebulan sejak September lalu.
“Kami sedang mengesan saki baki sindiket bagi membantu siasatan.
“Kedua-dua suspek yang masing-masing mempunyai satu dan tiga rekod jenayah lampau direman tujuh hari bermula 26 Oktober lalu,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
© New Straits Times Press (M) Bhd




