am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: AmBank menyumbang RM350,000 kepada Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) bagi membiayai Pusat Latihan Gurney (GTC) MAB dalam memperkasakan orang cacat penglihatan menerusi penyediaan perkhidmatan dan pembabitan lebih besar, serta integrasi dalam masyarakat.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Jamie Ling berkata, kerjasama yang dijalinkan bersama MAB adalah sebagai tanda AmBank menyokong inisiatif membantu insan cacat penglihatan menjalani kehidupan lebih baik seiring seruan kerajaan untuk meningkatkan sokongan terhadap Orang Kurang Upaya (OKU).
“Ini adalah satu usaha AmBank bagi mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat, membolehkan individu kurang upaya hidup berdikari, mendapatkan pekerjaan serta menyumbang kepada pembinaan negara.
“Selain itu, GTC MAB adalah satu-satunya pusat latihan bertauliah di Malaysia yang berdaftar di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Kementerian Sumber Manusia di mana ia menawarkan program kemahiran yang direka khusus untuk individu cacat penglihatan.
“Pusat ini mampu menampung lebih 70 pelatih berumur 18 tahun ke atas dengan program yang disesuaikan untuk melengkapkan mereka melalui kemahiran dalam pelbagai bidang termasuk pengurusan pejabat, sistem operasi komputer, rawatan pemulihan kesihatan dan penyembuhan, pengeluaran audio, pusat panggilan serta tenaga pengajar,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan cek penajaan Kumpulan AmBank kepada MAB, di sini, hari ini.
Menurutnya, kerjasama itu adalah inisiatif berterusan AmBank dalam meningkatkan prospek pendidikan dan profesional pelajar mereka dalam memupuk tenaga kerja yang lebih inklusif.
© New Straits Times Press (M) Bhd




