Aminuddin tegur persatuan sukan tak proaktif di Negeri Sembilan

Aminuddin tegur persatuan sukan tak proaktif di Negeri Sembilan

sukan@hmetro.com.my

Seremban: “Jika tak mampu menguruskan persatuan sukan dengan baik, sewajarnya beri laluan kepada pemimpin lain supaya prestasi dan pencapaian atlet sukan negeri ini lebih cemerlang,” tegas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Teguran itu dibuat susulan kontinjen Negeri Sembilan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024, baru-baru ini, tidak mencapai sasaran kutipan pingat emas ditetapkan apabila membawa pulang 19 emas berbanding 20 yang disasarkan menerusi pembabitan 520 pegawai dan atlet dalam 30 jenis sukan.

“Kalau sudah rasa tak boleh, berundurlah, tapi kalau rasa ada kemampuan untuk membawa perubahan, berubahlah.

“Mereka (pemimpin persatuan sukan negeri) kena bermuhasabah kerana kita tidak boleh rasa selesa ketika beberapa acara sukan yang dulunya didominasi Negeri Sembilan, tapi sekarang tidak lagi.

“Mereka perlu lihat ada persatuan sukan negeri lain yang lebih ke hadapan dan berjaya melahirkan atlet berprestasi tinggi serta meraih pingat emas.

“Saya berharap mereka dapat menerima teguran saya ini,”

katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Atlet Negeri Sembilan Ke Sukma Ke-21, Sarawak 2024, di sini, hari ini.

Sebanyak RM500,000 dibelanjakan untuk insentif berkenaan dengan pasukan menembak menerima jumlah tertinggi iaitu RM127,000 selepas merangkul 12 pingat emas selain mencipta empat rekod baharu pada temasya dwi-tahunan berkenaan.

Turut menerima insentif khas ialah pemain badminton beregu campuran kebangsaan, Chen Tang Jie yang menerima RM5,000 atas penyertaannya di Sukan Olimpik Paris 2024.

Tang Jie yang berpasangan dengan Toh Ee Wei tersekat di peringkat suku akhir selepas tewas kepada gandingan nombor lapan dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun, dengan keputusan 19-21, 14-21.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top