Wolfsburg tambah derita Dortmund

Wolfsburg tambah derita Dortmund

Wolfsburg: Jonas Wind menjaringkan gol lewat pada separuh masa kedua masa tambahan untuk membantu VfL Wolfsburg meraih kemenangan 1-0 ke atas Borussia Dortmund dalam pusingan kedua Piala Jerman.

Ini adalah kekalahan ketiga berturut-turut bagi Dortmund, yang kalah kepada Real Madrid dalam Liga Juara-Juara, diikuti dengan tumpas di tangan Augsburg di Bundesliga.

Keputusan ini menambah tekanan ke atas pengurus Nuri Sahin yang sudah berdepan kesukaran.

Dortmund memulakan perlawanan dengan baik, mencipta beberapa peluang, termasuk melalui Maximilian Beier pada minit ke-14 dan Serhou Guirassy selepas rehat.

Namun, mereka gagal memanfaatkan peluang berkenaan, manakala tuan rumah semakin ghairah menjelang hujung perlawanan.

Wolfsburg hampir mencipta jaringan apabila percubaan Tiago Thomas terkena tiang pada awal separuh masa pertama masa tambahan, sebelum Wind memiliki peluang untuk menjaringkan gol, tetapi tandukannya diselamatkan oleh Ramy Bensebaini pada minit ke-114.

Pemain antarabangsa Denmark itu akhirnya menjaringkan gol kemenangan dari jarak lapan meter pada minit ke-117.

Juara bertahan, Bayer Leverkusen, melangkah ke pusingan seterusnya dengan kemenangan mudah 3-0 ke atas kelab divisyen dua, Elversberg.

RB Leipzig, yang menduduki tempat kedua dalam Bundesliga, juga mara dengan kemenangan 4-2 ke atas St Pauli.

Bayern Munich dijadualkan menentang Mainz 05 awal pagi esok.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top