1MDB: Najib diarah bela diri 4 pertuduhan guna kedudukan peroleh suapan RM2.3 bilion

1MDB: Najib diarah bela diri 4 pertuduhan guna kedudukan peroleh suapan RM2.3 bilion

am@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang kini Hakim Mahkamah Rayuan memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan.

Najib kemudiannya diberi tiga pilihan iaitu pertama, beliau boleh berdiam diri dan tidak menjawab pertuduhan; kedua, beliau boleh memberi kenyataan tidak bersumpah daripada tempat saksi tanpa pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan.

Sementara pilihan ketiga, bekas Presiden Umno itu memberi keterangan secara bersumpah dengan pihak pendakwaan diberikan peluang untuk menyoalnya semasa pemeriksaan balas.

Najib memilih pilihan ketiga.

Najib, 71, yang juga bekas menteri kewangan didakwa dengan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar, Ahmad Akram Gharib dan Mohamad Mustaffa P Kunyalam.

Sementara pembelaan bagi pihak bekas Ahli Parlimen Pekan itu dibarisi peguam-peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Alaistair Brandah Norman dan Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin.

Muhammad Shafee yang mewakili Najib berkata, anak guamnya ‘tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan’ dan beliau akan memberikan keterangan secara bersumpah.

Sequerah kini membaca keputusannya mengenai 21 pertuduhan pengubahan wang haram dihadapi Najib.


1MDB: Pertuduhan terhadap Najib sah dan tidak cacat


Seminggu sebelum keputusan hari ini, Najib membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia, menerusi kenyataan yang dibacakan anaknya, Datuk Mohamad Nizar di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur berhubung salah laku dalam 1MDB.

Pada 30 Mei lalu, pihak pendakwaan menutup kes mereka selepas memanggil 50 saksi dalam perbicaraan yang berlangsung selama enam tahun, bermula 28 Ogos 2019.

Antara saksi itu ialah bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd Bakke Salleh; bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Saksi pendakwaan ke-50, bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan yang sebelum ini melarikan diri ke luar negara dan kemudian menyerah diri kepada pihak berkuasa pada 7 Julai 2023 lalu adalah saksi terakhir dipanggil.

Prosiding di peringkat pendakwaan terbabit bermula pada 28 Ogos 2019 dan ia berlangsung selama 235 hari.

Pada 29 Januari lalu, Najib mendapat pengampunan daripada Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya apabila bekas pemimpin itu dijangka dibebaskan dari penjara pada 23 Ogos 2028.

Tarikh itu adalah enam tahun lebih awal dari tempoh hukuman sepatutnya selain jumlah denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) berumur 71 tahun itu menjadi bekas Perdana Menteri pertama dipenjarakan selama 12 tahun selepas gagal dalam rayuan akhir di Mahkamah Persekutuan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top