aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sambutan Deepavali tahun ini pasti lebih bermakna buat sebahagian atlet negara apabila Frasier & Neaves Holding Bhd (F&N) dan Majlis Sukan Negara (MSN) mengadakan program kolaborasi penyerahan sumbangan kepada bekas atlet kebangsaan yang terpilih.
Mereka yang terpilih menerima sumbangan berkenaan adalah S Geerijaieswaran Pillai (karate), T Vikneswaran (Para Boccia) dan M Palavendiran (bina badan).
Manakala tiga lagi bekas atlet negara iaitu M Balle (Para Wheelchair Racing), David Cherian (Para Ping Pong) dan G Saravanan (olahraga) yang kini menetap di Pulau Pinang.
Bagi Saravanan, dia ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terbabit kerana menjadikan perayaan Deepavali tahun ini lebih bermakna.
Manakala Balle turut menzahirkan ucapan yang sama dan amat terharu dengan sumbangan yang diberikan.
“Ucapan terima kasih kepada MSN dan 100Plus kerana mengurangkan beban kami untuk pulang ke kampung halaman dan menyambut hari raya Deepavali bersama saudara mara,” kata M Balle.
Sementara itu Pengurus Pengurusan Acara dan Penajaan, F&N, Muhd Fauzi Ahmad berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan MSN dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) untuk memberi sumbangan bagi meringankan beban atlet dan bekas atlet negara yang banyak berkorban untuk negara.
“Program ini adalah lanjutan daripada yang kita lakukan, menyumbang kepada atlet dan bekas atlet bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baru Cina.
“Kami berharap program ini akan berterusan di masa akan datang,” kata Muhd Fauzi.
Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata: “Saya mengucapkan terima kasih kepada F&N dan MSN kerana mengambil langkah berterusan untuk membantu bekas atlet kita.
“Kami di Yakeb mengalu-alukan syarikat swasta tampil membantu atlet semasa dan bekas atlet yang mengalami masalah kewangan bagi meringankan beban kerana mereka berjuang atas nama Malaysia.”
Turut hadir, Pegawai Eksekutif Bahagian Korporat Majlis Sukan Negara, Mohd Aminul Hakim Hani Salman.
© New Straits Times Press (M) Bhd




