hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kajang: “Kami sentiasa bersedia menerima hakikat jika kami perlu memulangkan ‘pinjaman’ paling berharga kepada Allah SWT semula tetapi kami tidak pernah putus harapan ada keajaiban untuk anak sembuh,” kata Mohd Mahfiz Azmi.
Mohd Mahfiz, 30, berkongsi reaksi itu mengenainya keadaan anak bongsunya, Nur Maryam Ameena berusia setahun lapan bulan yang didiagnosis menghidap Juvenile Myelomonocytic Leukemia (JMML) sejenis kanser darah daripada kumpulan leukemia yang jarang ditemui sejak berusia sembilan bulan.
Nur Maryam Ameena mesra disapa Maryam kini berstatus paliatif apabila sudah tiada rawatan boleh dilakukan selain tiada ubat bersesuaian dengan penyakit berkenaan sejak 8 November lalu.
Mohd Mahfiz berkata, anak bongsu daripada tiga beradik itu dikesan menghidap penyakit berkenaan selepas mengalami demam selama dua minggu sebelum prosedur aspirasi sum-sum tulang mengesahkan anak diuji dengan JMML luekimia.
“Doktor beritahu penyakit berkenaan jarang berlaku dan di Asia ia hanya berlaku setiap dua hingga tiga tahun. Doktor di dua hospital memang beritahu pesakit menghidap penyakit itu tiada peluang sembuh.
“Doktor cuma cakap jangka hayat hidup pesakit bergantung dengan ketahanan diri mereka sendiri. Sebelum ini anak ada menjalani kemoterapi tetapi sel kanser tidak berkurangan dan perut anak membesar kerana hati serta limpa bengkak.
“Saiz dua organ itu semakin membesar bermula tiga dan empat sentimeter (cm) kini menjadi 10 dan 11cm. Doktor juga beritahu apabila semakin membengkak ia akan menyempitkan pernafasan, menyebabkan pendarahan dan keadaan anak juga akan semakin memburuk,” katanya.
Katanya, Nur Maryam Ameena juga tidak boleh menjalani Transplantasi Sumsum Tulang (BMT) kerana tidak sepadan dengan kakak dan abangnya namun anaknya itu tetap aktif serta kuat semangat untuk berjuang melawan penyakitnya.
“Kalau dilihat anak tidak seperti orang yang diuji kanser kerana semangatnya sangat kuat meskipun hanya berusia setahun lapan bulan dan setakat ini anak juga masih aktif.
“Semangat anak menjadikan saya dan isteri (Amira Shafikah Mohammad Kamil, 28) juga kuat berjuang bersamanya, malah doktor juga sentiasa memberi sokongan kerana biarpun anak dikatakan tiada harapan tetapi kami masih tidak berputus asa memohon kepada Allah SWT,” katanya.
Katanya, ketika ini mereka menganggap hari-hari bersama Nur Maryam Ameena menjadi saat paling berharga dan dia akan memanfaatkan masa bersama untuk mencipta memori serta kenangan yang akan dikenang selamanya.
“Saya juga sanggup berulang-alik dari Kuala Terengganu ke Semenyih dengan menaiki bas selama enam hingga tujuh jam untuk memberi sokongan dan meluangkan masa bersama.
“Saya selalu bawa anak ke taman dan mandi kolam yang menjadi aktiviti kegemaran Maryam kerana saya mahu dia sentiasa gembira.
“Saya kongsi video di TikTok sebagai kenangan kami dan jika takdir Allah menjemput anak dalam masa terdekat ini saya dan isteri menerimanya dengan reda kerana kami sentiasa bersamanya serta melihat perkembangannya.
“Cuma buat masa ini (selagi dia masih bernafas) kami tidak pernah berputus asa berdoa dan mengharapkan keajaiban untuknya sembuh,” katanya bekerja di Kuala Terengganu manakala keluarga menetap di Eco Hills, di sini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




